Laporan UPR kemuka 232 syor pada M'sia
Laporan Hasil Semakan Berkala Sejagat (UPR) Malaysia diterima pakai sebagai ad referendum oleh kumpulan kerja UPR Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Switzerland semalam.
Kenyataan Kementerian Luar menyebut laporan Malaysia diterima pakai bersama-sama laporan Jordan dan Republik Afrika Tengah.
"UPR itu menyediakan satu platform berstruktur untuk Malaysia dan negara anggota PBB lain yang terlibat dalam bertukar-tukar pandangan secara konstruktif berhubung pencapaian, cabaran serta amalan terbaik dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di sesebuah negara," katanya.
Menurut kenyataan itu, semakan berkenaan dijalankan dalam format dialog interaktif yang mengambil masa lebih tiga jam bagi setiap negara, dan semua anggota PBB perlu menyediakan UPR sekali bagi setiap empat setengah tahun.
"Sejumlah 104 negara anggota PBB mengambil bahagian dalam UPR Malaysia, termasuk semua negara Asean yang mengutarakan pelbagai komen dan cadangan membina," katanya.
Kenyataan itu juga menyebut sepanjang tempoh semakan, sejumlah 232 syor dikemuka kepada Malaysia.
- Bernama

