Kerjasama rapat Perlis dan Songkhla akan terus menyumbang kepada peningkatan dagangan Malaysia-Thailand yang kini bernilai RM74 bilion setahun, kata Menteri Besar Azlan Man.

Katanya aktiviti perdagangan Perlis dan wilayah selatan Thailand itu dijangka terus diperkukuh apabila projek landasan berkembar beroperasi tidak lama lagi.

Selain itu, usaha-usaha sedang diambil bagi meningkatkan kawalan sempadan terutama dalam menangani penyeludupan dan pencerobohan, katanya kepada wakil media Malaysia selepas menghadiri jamuan malam bersama Gabenor Songkhla, Kritsada Boonrat, di Songkhla malam tadi.

Katanya antara langkah yang diambil oleh Perlis ialah membina tembok konkrit bagi menggantikan kawat berduri yang menjadi pagar sempadan sejak 30 tahun lepas.

Terdahulu, dalam pertemuan sulung Azlan dan Kritsada, kedua-dua pemimpin itu membincangkan kerjasama dua hala membabitkan ekonomi dan keselamatan.

Pertemuan itu merupakan sebahagian daripada program lawatan dua hari Azlan ke Songkhla yang bermuila semalam.

Turut diadakan sempena lawatan itu ialah temasya sukan sempadan membabitkan pegawai kerajaan Perlis dan Songkhla.

- Bernama