Mahfuz: PAS mampu kekal Sg Limau dengan majoriti rendah
Oleh
Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata tinjauan terkini parti menunjukkan PAS mampu mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti yang kurang, iaitu hanya 500 undi.
BN juga berkeyakinan untuk mengambil kembali kerusi itu, terutama selepas lawatan secara berterusan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke tempat-tempat yang
dikatakan kubu kuat PAS seperti di kawasan Bukit Choras, Bukit Besar, Permatang Buluh dan Selengkoh.
Empat daripada 19 kawasan peti undi itu merupakan kawasan yang BN tewas dengan jumlah undi banyak, namun pemerhati melihat penerimaan masyarakat itu menggalakkan.
Menurut Bernama, pilihan raya kecil DUN Sungai Limau pada 4 November ini akan menyaksikan sama ada penduduk Sungan Limau memilih untuk selesa dengan 'status quo' atau berani membuat penghijrahan.
Jentera BN membawa slogan 'Berani Hijrah' dan menampilkan bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, manakala jentera PAS dengan slogan 'Kekal' menampilkan bekas penolong kanan kokurikulum Sekolah Menengah Agama Nahdzah, di Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat.
Mohd Azam sering dikaitkan sebagai anak didik Tan Sri Azizan Abdul Razak, bekas menteri besar dan penyandang kerusi DUN Sungai Limau selama lima penggal. Beliau meninggal dunia pada 26 September lepas.
Dengan berbaki tiga hari lagi tempoh berkempen, kedua-dua jentera berada pada gear kemuncak untuk merayu undi, dengan BN membawa mesej pembangunan bagi masyarakat setempat, manakala PAS dilihat lebih banyak memainkan isu nasional dan mengekalkan pergantungan kepada nostalgia kepimpinan Allahyarham Azizan.
Bagi penganalisis politik, mereka tertarik kepada faktor keseriusan kedua-dua calon berkempen, yang merupakan indikator awal terhadap keikhlasan mereka memimpin penduduk di situ.
Memetik contoh Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang kerap turun padang, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian menganggap ia menunjukkan bahawa BN serius dalam memperjuangkan nasib penduduk di situ.
"BN tahu kalau mereka tidak menang pun, tidak bawa perubahan kepada kuasa mereka memerintah Kedah, tetapi mereka masih serius untuk menang dan memastikan membawa satu perubahan kepada DUN itu daripada status quo," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Selain Mukhriz, kempen BN bagi PRK DUN Sungai Limau turut mendapat galakan daripada kehadiran timbalan perdana menteri, yang juga timbalan pengerusi BN, yang kerap turun membantu jentera parti komponen itu.
Sivamurugan mengakui jentera PAS mempunyai kelebihan berbekalkan pengaruh Azizan yang masih kuat di sana, namun jika tempo dan strategi yang sama dimainkan jentera BN sejak awal kempen hingga ke hari mengundi, PAS mungkin menghadapi saingan sengit dan kerusi DUN ini mungkin diambil alih.
"PAS tidak boleh bergantung kepada status quo semata-mata," katanya.
Penganalisis politik Md Shukri Shuib berkata jentera BN lebih komited dengan kempen yang lebih teratur berbanding PAS, yang dilihat mengambil pendekatan sambil lewa kerana menganggap DUN ini sebagai kubu kuat mereka.
"Ini bukan gelanggang mainan. Kita harus faham Umno dan BN parti yang menguruskan negara sejak kemerdekaan, dan sudah menjadi sifat BN, menguruskan sesuatu perkara secara terperinci," katanya.
Melihat kepada sejarah politik di DUN ini, Md Shukri yang juga pensyarah kajian politik dan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata apa yang dicari pengundi di Sungai Limau mungkin pemimpin yang boleh dipercayai.
"Maksudnya pemimpin yang boleh berdampingan dengan mereka, selain mempunyai kualiti kerohanian tinggi," katanya.
- Bernama

