Seorang pengantin perempuan yang baru selesai melangsungkan akad nikah mencuri tumpuan di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Dulang, di Yan apabila hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau hari ini.

Azalinawati Azazan, 29, hadir tanpa pasangannya dengan diiringi anggota keluarga pada pukul 3.15 petang selepas selesai majlis akad nikah pada 10 pagi di Majlis Agama Yan, di sini.

Beliau yang bekerja sebagai pembantu am di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cyberjaya berkata beliau dan pasangannya, Dzahir Ghazali, 30, masing-masing merupakan pengundi di DUN Sungai Limau tetapi di pusat mengundi berbeza.

"Pasangan saya mengundi di Sungai Daun, kami dah rancang lama tarikh ni, secara kebetulan pula sama tarikh dengan PRK ini.

"Tambah istimewa sebab ini tarikh sama dengan ulang tahun kelahiran ibu saya," katanya ketika ditemui Bernama selepas mengundi, hari ini.

Azalinawati yang hadir lengkap berpakaian pengantin berwarna putih, berkata kenduri bagi kedua-dua belah pihak akan diadakan di rumahnya di Kampung Dulang Kechil di Yan pada 30 November.

Ditanya mengenai kriteria Anggota Dewan Undangan (Adun) yang dicari, beliau cuma berharap bakal Adun di kawasan itu kelak seorang yang prihatin terhadap rakyat dan senang didekati.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon PAS Mohd Azam Abdul Samat.

Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata sehingga 3 petang ini, seramai 20,876 atau 76.69 peratus daripada 27,222 pengundi di DUN Sungai Limau telah mengundi.

-Bernama