Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Persatuan: Ambil kira tempoh khidmat pensyarah

Majlis Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), yang mewakili 30,000 warga akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), mencadangkan agar pertimbangan kenaikan pangkat pensyarah dan tenaga pengajar dibuat berdasarkan tempoh perkhidmatan dan bukan hanya merit.

    

Pengerusi MAAC Prof Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata tidak semua pensyarah melakukan kajian serta menghasilkan inovasi untuk dijadikan merit dalam kenaikan pangkat.

"Contohnya jika pensyarah macam saya dalam bidang kejuruteraan perlu menghasilkan inovasi baharu tetapi bagaimana dengan pensyarah Bahasa Inggeris yang tugasnya hanya mengajar bahasa itu kepada pelajar," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata MAAC menerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA) telah menghantar kertas kerja kepada kerajaan yang mengandungi beberapa cadangan penambahbaikan skim perkhidmatan termasuk kaedah kenaikan pangkat pensyarah berdasarkan tempoh perkhidmatan.

Beliau juga berkata IPTA sebagai badan berkanun, perlu diberi kelonggaran dan autonomi termasuk dalam soal kenaikan pangkat.

MAAC juga mahukan satu skim perkhidmatan yang seragam untuk semua pensyarah berikutan skim pensyarah perubatan pada masa ini adalah berbeza daripada skim pensyarah fakulti-fakulti lain, katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS