Mukhriz ikrar terus beri perhatian pada Sg Limau
Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz mahahthir berikrar akan terus memberi perhatian kepada penduduk Sungai Limau walaupun BN tewas kepada PAS dalam pilihan raya kecil Sungai Limau.
Menurutnya, BN akan tetap meneruskan dua projek besar yang telah dirancang di situ.
"Kita masih akan teruskan dengan dua projek pertama iaitu sebuah jalan raya yang akan dibina di antara Guar Chempedak dan Pulau Bunting.
"Kerajaan juga sedang mempertimbang membina pelabuhan di Pulau Bunting.
"Menang atau kalah kita tetap akan usahakan," katanya kepada pemberita sewaktu sidang media ringkas di pusat arahan BN petang tadi.
Dalam pilihan raya kecil hari ini, PAS mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti 1,084 undi. Calonnya Mohd Azam Abd Samat, 37, memperoleh 12,069 undi
berbanding calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, yang mendapat 10,985 undi.
Sementara itu, Ahmad Sohaimi menerima keputusan pilihan raya kecil hari ini dengan hati terbuka.
"Kita kena percaya pada rukun Iman dan qada dan qadar yang ditentukanNya," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

