Meskipun tewas, Najib bangga usaha, semangat BN
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau bangga dengan usaha dan semangat dipamerkan calon BN dan jentera parti dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah, meskipun tewas.
Perdana Menteri berkata kerja keras calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan jentera parti telah berjaya mengurangkan majoriti undi yang diperoleh calon pembangkang.
Keputusan pilihan raya kecil itu menyaksikan Ahmad Sohaimi yang memperoleh 10,985 undi, tewas kepada calon PAS Mohd Azam Abd Samat dengan majoriti 1,084 undi. Mohd Azam mendapat 12,069 undi.
Dalam pilihan raya umum ke-13 Mei lepas, Tan Sri Azizan Abdul Razak (PAS) menang kerusi DUN itu dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 2,774 undi.
Justeru, Najib yang juga pengerusi BN berharap usaha gigih yang dipamerkan itu dapat diteruskan tanpa ada yang berputus asa.
"Semoga usaha gigih ini dapat diteruskan, serta janganlah berputus asa. Sesungguhnya perjuangan kita tidak pernah selesai," katanya menerusi laman Twitter dan Facebook beliau malam ini.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir menyifatkan kejayaan Barisan Nasional (BN) mengurangkan majoriti undi PAS lebih daripada separuh, adalah satu kemenangan.
"Daripasa aspek itu, ianya satu kemenangan agak baik walaupun kita gagal menangi kerusi ini (DUN Sungai Limau)," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan BN malam ini.
Beliau berkata BN menerima keputusan itu PRK itu, namun berjanji tidak akan menghentikan usaha mendekati sekolah pondok seperti yang terkandung dalam Aku Janji BN pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) demi untuk meningkatkan syiar Islam.
"Kita tetap bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku di sini kerana dari perspektif kerajaan, kita tidak bersifat pilih kasih," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri BN akan meneruskan dua projek yang diumumkan, iaitu jalan raya Guar Chempedak ke Pulau Bunting, dan cadangan membina pelabuhan di pulau itu.
- Bernama

