'Terlalu awal anggap pengundi Cina kembali sokong BN'
Sementara pengundi Cina dilihat mengundi memihak kepada BN semasa pilihan raya kecil Sungai Limau Isnin lalu, ia tidak bermakna pendirian politik mereka telah berubah khasnya sekarang ini.
Ahli politik serta penganalisis politik masih berwaspada dengan perkembangan ini dan percaya adalah masih terlalu awal untuk mengatakan yang masyarakat Cina kini telah kembali ke pangkuan BN.
Lagipun, sentimen pilihan raya kecil ini jauh berbeza daripada sentimen yang dialami oleh komuniti itu semasa Pilihan Raya Umum (PRU).
Dalam pilihan raya kecil itu, PAS memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Sg Limau apabila calonnya Mohd Azam Abdul Samat, 37, meraih 12,069 undi sementara calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, mendapat 10,985 undi.
Bagaimanapun, kali ini PAS hanya mampu memperolehi majoriti 1,084 undi di kubu kuatnya sejak 1995 itu berbanding majoriti 2,774 undi yang diperolehinya semasa GE13 pada Mei khasnya kerana bilangan keluar mengundi yang lebih rendah selain sebahagian besar undi masyarakat Cina berpihak kepada BN.
Parti-parti komponen BN yang berasaskan masyarakat Cina iaitu MCA dan Gerakan dengan cepat menunjukkan bahawa keputusan di lima pusat mengundi - Simpang Tiga, Sg Limau, Kabu Sepuloh, Batu Enam Belas and Kampung Titi Batu - menunjukkan lebih 70 peratus daripada 1,842 pengundi Cina memilih BN.
Adakah keadaan memihak kepada BN?
Timbalan presiden Gerakan Dr Cheah Soon Hai yang juga ketua Gerakan Kedah menjelaskan bahawa 208 daripada 295 pengundi Cina yang mengundi di Batu Enam Belas memilih BN. Ini menunjukkan 70 peratus sokongan Cina bagi BN.
Pada masa yang sama, di Sg Limau Dalam, 480 daripada 605 pengundi Cina memilih BN (79 peratus) sementara di Simpang Tiga 204 daripada 285 pengundi Cina memilih BN (71 peratus).
"Di kesemua tiga pusat pengundian utama ini, jumlah pengundi Cina yang keluar mengundi adalah seramai 1,185 orang dengan 892 daripada mereka mengundi bagi BN. Dua lagi pusat pengundian tidak diambil kira kerana bilangan pengundi Cina yang kecil.
Ini jauh berbeza daripada unjuran yang dibuat oleh DAP semasa PRU13 pada Mei bahawa sokongan masyarakat Cina bagi PAS di kawasan pilihan raya itu adalah antara 45 dan 55 peratus.
Apa tersirat di sebalik keputusan Sg Limau
Bagaimanapun, Dr Cheah menunjukkan bahawa peratusan pengundi Cina yang keluar mengundi juga berkurang kerana ramai pengundi muda tidak pulang untuk mengundi dan ini secara tidak langsung menguntungkan BN.
Pengundi muda adalah golongan yang mengundi memihak kepada PAS semasa PRU13.
"Lagipun, jentera BN melakukan sedaya yang boleh untuk memikat pengundi yang lebih tua dengan ramai daripada mereka ini pulang dari sejauh Pulau Pinang, Alor Setar dan Sungai Petani untuk mengundi. Ini telah banyak membantu kami," katanya.
Seperti yang ditunjukkan oleh akhbar Sin Chew Daily dalam ruangan pendapatnya pada hari Rabu, undi Cina yang memihak kepada BN di Sg Limau tidak akan membawa impak ketara terhadap pendirian politik masyarakat Cina di peringkat negeri dan negara.
Lagipun, bilangan pengundi Cina di Sungai Limau adalah kecil dan dengan itu walaupun 70 peratus daripada mereka mengundi bagi BN, ia masih tidak memadai untuk menunjukkan perubahan ketara," kata akhbar itu lagi.
Masyarakat Cina belum pinggir sepenuhnya BN
Ahli strategi DAP dan Anggota Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming juga berhujah bahawa pilihan raya kecil Sg Limau bukan kayu ukur untuk menunjukkan peralihan sokongan politik masyarakat Cina.
Lagipun, Sg Limau rata-ratanya kawasan pilihan raya Melayu dengan 93 peratus daripada pengundinya adalah orang Melayu.
"Jika 30 peratus daripada pengundi di situ adalah daripada masyarakat Cina dan ianya kawasan bandar, baru anda boleh katakan yang keputusan itu menunjukkan pengundi Cina telah kembali ke pangkuan BN," katanya.
Anggota Dewan Undangan Negeri Gurun Dr Leong Yong Kong berpendapat sebaliknya kerana isu-isu kebangsaan yang menjadi tumpuan semasa pilihan raya kecil itu dengan kedua-dua belah berusaha memikat pengundi Cina.
Oleh itu, beliau berhujah, keputusan pilihan raya kecil itu masih boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai sokongan masyarakat Cina bagi BN.
Bagaimanapun, penganalisis politik dari Pulau Pinang Datuk Cheah See Kian percaya adalah sukar untuk menilai pendirian politik sebenar pengundi Cina di seluruh negara berdasarkan hanya kepada keputusan pilihan raya kecil Sg Limau.
"Bagaimanapun, keputusan pilihan raya umum Sg Limau menunjukkan yang pengundi Cina masih belum meminggirkan sepenuhnya BN. Ini merupakan satu hakikat penting yang perlu dihargai oleh BN dan pembangkang (PKR-DAP-PAS)," katanya.
- Bernama

