Protes guna keroncong pukat tunda 38mm tak dilayan
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak akan tunduk kepada desakan segelintir nelayan yang membantah penggunaan saiz mata keroncong pukat tunda melebihi 38 milimiter (mm) yang telah dikuatkuasakan sejak 1 November lepas.
Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka sepatutnya menyuarakan permasalahan itu secara baik dan bukannya mengadakan demonstrasi di pelabuhan atau jalanan untuk menyelesaikan isu itu.
"Kalau nak jumpa saya tak payah nak ugut saya dengan demonstrasi. Saya orang yang senang untuk bejumpa. Saya boleh berjumpa dengan mana-mana persatuan nelayan, tetapi jangan bawa kes ke jalanan.
"Cukuplah nak mogok, cukuplah nak protes. Selama mana pun mereka nak mogok kita tidak akan menghentikan atau menarik balik segala peraturan yang telah pun kita perkenalkan," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Ismail Sabri berkata peraturan saiz mata keroncong 38mm telah diletakkan sebagai syarat lesen pukat tunda sejak 1982, tetapi ditangguhkan penguatkuasaannya kerana terdapat bantahan daripada nelayan dan status sumber perikanan masih baik ketika itu.
Bagaimanapun Ismail Sabri menegaskan kerajaan telah menguatkuasakan penggunaan pukat tunda yang lubang jaringnya melebihi 38mm mulai 1 November lepas bagi menyelamatkan benih ikan laut daripada pupus.
Menurutnya meskipun nelayan terlibat masih tidak turun ke laut kerana membantah penguatkuasaan itu, kementerian akan tetap bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia supaya larangan itu dipatuhi.
"Dari segi tangkapan ikan, jika menggunakan mata keroncong kecil pun, jumlah hasil tangkapan tidak ada kurangnya. Malah ianya lebih baik sebab mata 38mm ke atas boleh tangkap ikan yang lebih besar," katanya.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan Mohamad Dolmat berharap pihak berkenaan berhenti membantah penguatkuasaan penggunaan pukat tunda 38mm itu.
"Perkara ini saya rasa tidak sepatutnya begitu. Kita rasa sudah sampai masanya kita menyokong penuh usaha kerajaan," katanya.
- Bernama

