Gurauan terakhir suami jadi kenyataan
Gurauan Wan Suib Wan Long, 60, ketika mengambil ubat jantung daripada isterinya, Syarifah Fatimah Wan Ahmad, 56, di Taman Spawi Lorong Cenderawasih Samariang pada awal semalam merupakan satu petanda yang dia akan pergi buat selama-lamanya.
Wan Suib mengungkapkan kata-kata "siapalah yang pergi dulu, yang bagi ubat atau yang makan ubat?" kepada isterinya sebelum pasangan itu bersama-sama seorang lagi saudara, yang hanya dikenali sebagai Nek Tinai, 70-an, ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching untuk menghantar anak mereka yang bakal berlepas ke Yaman, sejam kemudian.
Dalam perjalanan pada kira-kira 7 pagi itu, Wan Suib yang memandu Perodua Kelisa maut selepas kenderaan dipandunya bertembung sebuah pacuan empat roda di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakob.
Syarifah Fatimah dan Nek Tinai hanya cedera ringan.
Menantu mangsa, Noriza Jamil, 30-an, berkata selain gurauan itu, Allahyarham yang tinggal di Sarikei, dilihat lebih banyak mendiamkan diri sejak tiba di Kuching Isnin lepas.
"Ketika kami makan malam di luar semalam, ayah tidak banyak cakap. Pada mulanya kami menyangka ayah sedih kerana akan berjauhan dengan adik ipar saya, Wan Hamzani, 24, yang akan kembali ke Yaman untuk menyambung pengajian.
"Ayah dan emak tinggal di Sarikei dan mereka datang ke Kuching untuk menghantar adik dan sejak lima hari di sini, ayah solat di Masjid Gita namun entah mengapa hari ini dia hendak berjemaah dengan anggota keluarga di rumah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuching Assisten Komisioner Roslan Bek Ahmad mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mangsa maut akibat retak di kepala dan pendarahan teruk.
"Siasatan awal polis mendapati punca kemalangan disebabkan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 28 tahun itu terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta mangsa dari arah depan.
"Akibat rempuhan itu, kepala mangsa tersepit sebelum mayatnya dikeluarkan beberapa anggota bomba dan polis manakala mangsa kemalangan lain hanya mengalami cedera ringan," katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Bernama

