Shafee: Tiada plot terhadap Gani Patail
Peguam kanan Muhammad Shafee Abdullah menafikan terdapat plot terhadap Peguam Negara dalam pertemuan yang dianggap tahap tinggi di kediaman Dr Mahathir Mohamad tiga bulan lalu.
Dakwaan itu dibuat bekas pengarah CID Kuala Lumpur Mat Zain Ibrahim baru-baru ini.
Shafee berkata, tiada sebab untuk itu dan Mahathir tidak pernah terlibat.
"Tiada ada sebab untuk itu sama ada untuk berhubung isu insiden mata lebam atau kes Pulau Batu Puteh," kata peguam kanan itu.
Shafee ( kanan ) bagaimanapun mengesahkan kehadirannya di rumah bekas perdana menteri itu pada 10 Ogos.
Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan kehadiran pihak lain sehingga beliau membaca akuan berkanun Mat Zain kerana ia tidak adil terhadap bekas pegawai polis itu.
Tambahnya, perkara itu juga tidak adil terhadap Mahathir.
"Tun (Mahathir) tidak terlibat dengan semua perkara mengarut ini. Saya yang sebenarnya mahu memberikan penghormatan kepada Tun. Terdapat juga pihak lain yang mahu melakukan perkara sama," katanya.
Shafee menambah, beliau akan mengadakan sidang media esok selepas mendapat salinan penuh akuan berkanun Mat Zain.

