Petronas untung pracukai RM25.88b suku ke-3 2013
Petronas mencatatkan untung pracukai lebih tinggi iaitu RM25.88 bilion pada suku ketiga berakhir 30 September, 2013 daripada RM21.27 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama pada 2012.
Perolehan naik kepada RM81.41 bilion, pada tempoh yang dinilai, daripada RM68.34 bilion yang dicatatkan sebelum ini didorong oleh volum jualan minyak mentah, gas diproses dan gas asli cecair (LNG) yang lebih tinggi, serta volum dagangan produk petroleum yang lebih tinggi.
"Volum yang lebih baik itu juga adalah berikutan permintaan pengguna yang lebih kukuh dan peningkatan peluang dagangan diikuti impak pengukuhan dolar AS berbanding ringgit," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Shamsul Azhar Abbas.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2013, untung pracukai naik kepada RM76.69 bilion daripada RM74.45 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama sebelum ini.
Perolehan meningkat kepada RM232.51 bilion, pada tempoh sembilan bulan itu, berbanding RM214.35 bilion sebelum ini.
"Peningkatan pada perolehan adalah berikutan aktiviti dagangan minyak mentah dan gas diproses yang lebih tinggi serta volum jualan minyak mentah, gas diproses dan LNG yang lebih tinggi," kata beliau pada satu sidang media untuk mengumumkan keputusan suku tahun syarikat itu.
-Bernama

