Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Projek mega pelabuhan darat RM1 bilion di Perlis
Diterbitkan:  Nov 14, 2013 10:47 AM
Dikemaskini: 2:49 AM

Pembangunan pesat yang bakal berlaku di pinggir sempadan antarabangsa di Perlis akan turut mempercepatkan proses peningkatan ekonomi seluruh negeri, kata Menteri Besar Azlan Man.

Menurutnya, walaupun pada masa ini pembangunan ekonomi kelihatan fokus di utara Perlis namun kesannya akan turut dirasai sehingga ke selatan negeri.

Berucap pada majlis penghargaan, ramah mesra dan makan malam Majlis Amanah Rakyat (Mara) Perlis di Kuala Perlis malam tadi, beliau berkata, peluang yang wujud hasil pembangunan itu sewajarnya disertai oleh penduduk tempatan.

Katanya, para usahawan termasuk yang dilahirkan melalui program Mara seharusnya memanfaatkan peluang itu dengan menyertai apa jua kegiatan ekonomi yang relevan.

Azlan berkata, antara projek mega yang bakal dilaksanakan di utara Perlis iaitu di Padang Besar ialah pelabuhan darat yang dijangka membabitkan pelaburan lebih RM1 bilion dan bakal menjadi pelabuhan darat terbesar di negara ini.

Menteri Besar berharap kontraktor tempatan bersedia dengan keupayaan kewangan selain kemahiran yang tinggi kerana antara biasanya kegagalan mereka melaksanakan projek disebabkan faktor kewangan.

Menurut beliau, Perlis hanya mempunyai 25 kontraktor kelas A namun hanya lima daripadanya yang kelihatan aktif.

Sementara itu, Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad dalam ucapannya berharap usahawan mengukuhkan jaringan strategik dalam kalangan mereka dan semua agensi yang terbabit dalam pembangunan keusahawanan.

Katanya, mereka sentiasa mempunyai peluang menjana ekonomi melalui bidang masing-masing asalkan mereka bersedia untuk melakukan yang terbaik.

Pada majlis itu, sembilan usahawan menerima anugerah Mara Perlis 2013 iaitu bagi kategori penyewa terbaik, peminjam terbaik dan kontraktor terbaik.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS