Mohana dipilih ketua Wanita MIC
Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), Mohana Muniandy dipilih sebagai ketua Wanita MIC selepas mengalahkan M Vickneswari dalam pemilihan sayap itu hari ini.
Dalam pertandingan satu lawan satu, Mohana memperoleh 344 undi untuk menang dengan majoriti 178 undi. Vickneswari, iaitu setiausaha Wanita MIC kebangsaan, memperoleh 166 undi.
Seramai 560 perwakilan mengundi dalam pemilihan sayap wanita.
Keputusan pemilihan sayap wanita itu diumumkan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MIC, Tan Sri S Kumaran pada pukul 6.30 petang ini.
Jawatan Timbalan Ketua Wanita pula dimenangi oleh ketua wanita bahagian Tapah, P Prema yang mengalahkan ketua wanita bahagian Pagoh, K Nirmala dengan majoriti 195 undi dalam pertarungan satu lawan satu.
Prema memperoleh 354 undi berbanding 159 undi oleh Nirmala.
Selain itu, kumpulan Mohana turut menyapu bersih kesemua 39 jawatan yang dipertandingkan iaitu dua jawatan CWC, 12 ahli majlis wanita kebangsaan dan 35 perwakilan ke Perhimpunan Agung MIC di Melaka, 30 November ini.
Selepas keputusan diumumkan, Mohana, 37, seorang pensyarah, berkata beliau percaya kemenangannya adalah kerana tuntutan supaya seorang pemimpin muda menerajui sayap itu.
"Saya akan menunaikan segala janji saya antaranya mewujudkan peluang perniagaan untuk wanita India dan membawa kesedaran celik politik. Selain itu akan membawa perubahan besar untuk memperkukuhkan kaum wanita India dalam parti serta Barisan Nasional," katannya.
Sambil meraikan kemenangan dengan titisan air mata kegembiraan bersama ahli keluarga dan penyokongnya, katanya beliau berazam untuk meningkatkan keahlian dalam sayap wanita itu dengan menggalakkan lebih ramai wanita menyertai parti itu.
Mohana juga mengucapkan terima kasih kepada presiden parti Datuk Seri G Palanivel dan perwakilan wanita atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui sayap tersebut untuk tempoh tiga tahun.
Berikut ada;ajbarisan Wanita MIC bagi tempoh 2013-2016:
Ketua Wanita: M. Mohana
Timbalan Ketua Wanita: P Prema
Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC): N Saraswati, Senator A Sivabagiam
12 Anggota Majlis Wanita Kebangsaan:
T Thangarani, K Mahaswary, S Kogilam, P Patmavathy, Karampal Kaur, G Suriyakanthamma, M Maheswari, K Malliga, S Santha, G Thanalakshmy, M Kavitha, R Vithiya.
35 Perwakilan Wanita Ke Perhimpunan Agung:
S Kogilam, Mary Fernandez, N Letchumi, V Saratha, K Kaladewi, G Suriya, A Ratha, G Desamah, T Suzila, M. Maheswari, R. Saroja, P. Sarojini, Karampal Kaur, S Parvathy, J Magesweri, D Tamil Selvi, B Ambusachachie, P Selvi, M Paravathy, R. Krishnamah, V Kalichelvi, M Kavita, P Prema, K Leela Devi, T Thangarani, R Vithiya, Joginder Kaur, S Danam, G Thana, K Malliga, P Tanaletchumy, P Patmavathy, K Vasughi, K Pakiavathy, S Praymah.
- Bernama

