MP Johor Bahru Shahrir Samad berkata pihak berkuasa bertindak berlebihan dengan memadam mural yang dihasilkan oleh artis Ernest Zacharevic yang menonjolkan kes kejadian jenayah di bandar itu.

Laporan Sin Chew Daily menyebut, Shahrir menyatakan rasa terkejut dengan tindakan berkenaan dan berpendapat bahawa mural tersebut sepatutnya dipelihara.

Tambahnnya, karya seni berkenaan menganjurkan mesej “keadilan” yang menarik reaksi dari masyarakat.

Mural berkenaan menunjukkan lukisan patung wanita membawa beg tangan berjenama mahal, manakala satu lagi menunjukkan patung seorang penjenayah yang sedang menunggu untuk menyerang di sebalik tembok.

Pihak berkuasa tempatan berpendapat bahawa karya seni berkenaan tidak sesuai dan memadamkannya minggu lalu.

Bagaimanapun, tindakan ini menyebabkan mural terbabit muncul di lebih 10 tempat lain dalam bentuk pelekat besar.

Dalam satu laporan berkaitan, Datuk Bandar Johor Bahru Ismail Karim berkata pemilik bangunan yang perlu menanggalkan mural tersebut dalam tempoh satu minggu, atau berdepan tindakan saman.

Katanya, pihak kerajaan tempatan akan membina satu dinding khas untuk menampilkan karya seperti itu di Linear Park.