MP dakwa AG pilih kasih dalam kes pindahan wang
MP Seremban, Anthony Loke mendakwa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak pilih kasih dalam kes melibatkan pemindahan wang RM10 juta secara haram didakwa melibatkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan.
Beliau merujuk kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dakwaan bahawa Mohamad menghantar RM10 juta ke London melalui cara tidak mengikut undang-undang pada tahun 2010.
Tiada tindakan dikenakan ke atas Mohamad walaupun selepas siasatan selama tiga tahun, kata Loke yang berkata, perkara berbeza boleh dilihat dalam kes seorang individu didakwa bergelar 'Tan Sri' baru-baru ini.
Beliau mendakwa, 'Tan Sri' tersebut dikenakan denda hampir RM200 juta kerana kesalahanan memindahkan wang menerusi pengurup wang.
"Apabila orang biasa membuat pemindahan wang secara haram, mereka didenda.
"Tetapi apabila menteri besar Negeri Sembilan yang merupakan anggota majlis tertinggi Umno melakukan perbuatan sama, tiada tindakan diambil," katanya sewaktu membahaskan Belanjawan 2014 di peringkat jawatankuasa di Parlimen hari ini.
"Kenapa ada sikap pilih kasih dan pendakwaan terpilih begini?,” soalnya yang mengulas satu jawapan bertulis di Parlimen yang diperolehinya dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukry berhubung dakwaan melibatkan Mohamad.
Dalam jawapan tersebut, Nancy menjelaskan bahawa wang RM10 juta dalam kes melibatkan Mohamad bukan dari hasil rasuah.
Nancy dalam jawapan itu juga menjelaskan, Jabatan Peguam Negara berpendapat bahawa tindakan lebih dikenakan ke atas pengurup wang terlibat dan bukannya ke atas Mohamad Hassan.
Jawapan itu bagi soalan Loke yang meminta perdana menteri menyatakan sebab pendakwaan masih belum dijalankan ke atas Mohamad Hasaan dalam kes pemindahan wang tersebut.

