SBY: Indonesia kaji semula hubungan dengan Australia
Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono berkata Indonesia akan mengkaji semula sejumlah kerjasama dengan Australia berikutan laporan kegiatan intipan negara jirannya itu terhadap pemimpin-pemimpin negara Asia termasuk Indonesia.
"Kita akan meninjau kembali sejumlah agenda kerjasama bilateral akibat perlakuan Australia yang menyakitkan itu," katanya dalam akaun twitternya @SBYudhoyono hari ini.
Presiden Indonesia itu yang mesra dengan panggilan SBY, berkata Indonesia meminta Australia memberi jawapan rasmi yang boleh difahami oleh seluruh masyarakat berhubung tindakan pengintipan yang dilakukannya ke atas Indonesia.
"Tindakan Amerika Syarikat dan Australia mencederai (menjejaskan) kerjasama strategik dengan Indonesia, sesama negara demokrasi," katanya.
Beliau telah meminta Menteri Luar Marty Natalegawa untuk memanggil pulang Duta Besar negara itu di Australia, Nadjib Riphat Kesoema sebagai suatu langkah diplomasi yang tegas.
Presiden SBY juga kesal dengan kenyataan Perdana Menteri Australia, Tony Abbott yang menganggap remeh laporan berita tentang kegiatan pengintipan oleh Australia terhadap Indonesia.
Sementara itu dalam satu laporan agensi berita Antara pada Selasa yang memetik tulisan kolumis The Canberra Times, Philip Dorling menyebut bahawa Australia telah mula melakukan intipan ke atas Indonesia sejak tahun 1950-an kerana negara itu tidak mempercayai Indonesia.
Dalam tulisannya bertajuk "Canberra doesn't trust Jakarta" di akhbar harian Australia, Sidney Morning Herald, pada Selasa, Dorling berkata khabar tentang jabatan perisikan elektronik "Defence Signals Directorate" mengintip dengar perbualan telefon Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono bukanlah mengejutkan ratusan, bahkan ribuan ejen rahsia diplomat, birokrat dan ahli politik Australia.
"Kita (Australia) bekerjasama erat dengan Indonesia termasuk dalam bidang keselamatan dan perisikan tetapi kita tidak mempercayai mereka (Indonesia)," tulis Dorling.
Indonesia di mata Australia, kata Dorling, tidak seperti Australia memandang New Zealand yang dianggap sekutunya, sebaliknya Australia selalu khuatir Indonesia pada suatu masa nanti akan menjadi ancaman.
Laporan media sebelum ini menyebut bahawa agensi perisikan Australia telah cuba mengintip dengar perbualan telefon Yudhoyono dan isterinya serta beberapa menteri kanan Indonesia selama 15 hari pada bulan Ogos 2009.
Dokumen rahsia yang dibocorkan oleh pemberi maklumat perisikan Edward Snowden dan diterima media penyiaran Australia Broadcasting Corporation (ABC) dan akhbar harian The Guardian menyebut bahawa Presiden Indonesia dan sembilan orang terdekatnya sebagai sasaran intip dengar itu.
- Bernama

