Pemandu lori nyaris terjatuh dalam lubang mendap
Seorang pemandu lori terselamat daripada terjatuh ke dalam lubang sedalam tiga meter ekoran kejadian mendapan tanah di hadapan Sekolah Kebangsaan Tarcisian Convent di Taman Lim di Ipoh semalam.
Teoh Wooi Boon, 59, yang tinggal di Taman Jaya, Bercham berkata beliau tidak menduga kejadian itu berlaku kerana tiada kesan mendapan di laluan tersebut.
Dalam kejadian pada pukul 11.50 pagi, Teoh yang merupakan pemandu lori di sebuah kedai perabot dalam perjalanan dari Silibin ke sebuah klinik di Kampung Simee.
"Ada seorang pelanggan telefon menyebabkan saya memberhentikan lori di sisi jalan di hadapan sekolah ini. Ketika sedang bercakap dengan pelanggan saya dengar bunyi kuat di luar dan stereng lori mencecah perut saya," katanya yang terkejut dengan kejadian itu.
Beliau kemudian secara perlahan-lahan keluar dari lori sebelum melihat tayar kiri sebelah hadapan terjerlus ke dalam lubang seluas lima meter persegi.
Bagaimanapun, Teoh tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tinjauan Bernama ke tempat kejadian mendapati terdapat juga lubang kecil di halaman sekolah itu termasuk kesan rekahan di tembok pagar.
Menurut jurucakap Majlis Bandaraya Ipoh, beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada kerja-kerja menanam cerucuk di tapak pembinaan bangunan baharu di dalam kawasan sekolah berkenaan, Jumaat lepas.
"Seorang guru menyedari kesan rekahan dan lubang kecil di halaman sekolah semalam dan hari ini rekahan itu semakin merebak," katanya.
Katanya, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan unit geologi bagi menyelesaikan masalah tersebut termasuk kerja-kerja membaik pulih mendapan tanah itu yang akan dilakukan segera.
"Kerja-kerja menanam cerucuk itu dihentikan sementara dan kawasan kejadian akan ditutup kepada laluan orang ramai," katanya.
- Bernama

