Masyarakat Cina hari ini melahirkan perasaan kesal terhadap arahan kerajaan yang melarang 24 orang pemimpin PAS daripada menyampaikan ceramah agama di semua masjid, surau dan bangunan kerajaan.

"Dalam semangat demokrasi, semua pihak seharusnya menghormati hak orang lain untuk berpegang pada pendapat yang berbeza," kata Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Jawatankuasa Suqio) dalam kenyataannya kepada malaysiakini petang ini.

"Semua warganegara berhak menikmati kebebasan bersuara yang saksama," kata jurucakapnya, Wong Chin Huat.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan larangan tersebut dikeluarkan dua minggu lalu oleh Jawatankuasa Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di bawah Jabatan Perdana Menteri. Larangan yang membabitkan tokoh-tokoh agama yang dihormati dan dikenali ramai itu berkuatkuasa tanpa sebarang alasan.

Mereka yang disenaraikan termasuklah bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysian Dr Haron Din, bekas mufti Selangor Ishak Baharom, ADUN Gombak Setia Ismail Kamus dan bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Ismail, dalam arahan kerajaan itu, tokoh-tokoh itu "tidak kehendaki." ([#1]PAS leaders banned from public speeches[/#], May 5)

Bagaimanapun Jawatankuasa Suqio mengingatkan bahawa premis kerajaan tidak wajar dianggap sebagai hak mereka sendiri kerana harta benda tersebut milik rakyat dan bukan mana-mana parti.

Menurutnya lagi, kakitangan semua agensi kerajaan harus tidak memihak kepada mana-mana parti dan mereka perlu bersikap profesional ketika menjalankan tugas.

"Jika kerajaan Barisan Nasional kurang senang dengan apa yang disampaikan 24 pemimpin PAS itu, ia (BN) berhak menyangkal dengan hujah mereka sendiri," kata Wong.

Menjelang pilihan raya umum November lalu, sebanyak 2095 pertubuhan Cina menurunkan tandatangan di atas satu senarai tuntutan untuk dipertimbangkan oleh calon dan parti yang bertanding. Senarai 17 perkara itu diterima pada dasarnya oleh dua kumpulan parti utama, BN dan Barisan Alternatif.

Jaminan kebebasan bersuara untuk semua dimasukkan dalam isi utama senarai tersebut.

Senarai itu kini diselia oleh 16 buah persatuan Cina peringkat kebangsaan yang dikenali Jawatankuasa Seqio.