Kastam akan kutip tambahan RM5j setahun
Jabatan Kastam Diraja Malaysia menjangka untuk mengutip tambahan RM5 bilion hingga RM6 bilion dalam cukai setahun sebaik sahaja cukai barang dan perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan pada 2015.
Timbalan Pengarah Kanan (Bahagian GST), Mohd Sabri Saad, berkata GST akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sekarang, yang menyumbang antara RM16 bilion dan RM17 bilion dalam pendapatan kepada kerajaan setiap tahun.
Beliau berkata pada keseluruhannya GST dijangka menyumbang kira-kira RM21 bilion kepada kerajaan.
"Perlaksanaan itu sepatutnya tidak membebankan rakyat kerana ia bukan cukai baharu tetapi menggantikan SST. Hanya barang dan perkhidmatan yang tidak dicukai sebelum ini akan mendapat kesan satu kali dari segi harga," kata Mohd Sabri.
Mohd Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat GST oleh Kastam Diraja Malaysia, Wilayah Persekutuan untuk media dan wakil daripada Persatuan Pengguna Malaysia dan Seniman, sebuah persatuan artis.
Beliau berkata selepas perlaksanaan GST, Indeks Harga Pengguna (IHP) dijangka meningkat sedikit.
Sebagai sebahagian daripada program reformasi cukai kerajaan, GST adalah lebih cekap, berkesan, mesra perniagaan, telus dan berupaya menjana lebih banyak sumber perolehan yang stabil, katanya.
Mengenai isu peningkatan harga akibat pengambilan untung, Ahmad Sabri berkata kerajaan akan menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 untuk mengekang masalah ini.
"Program kesedaran bersepadu akan dilaksanakan ke atas GST, dan bimbingan pembeli akan dikeluarkan tiga bulan sebelum pelaksanaan GST untuk memberitahu
pelanggan mengenai perubahan harga," katanya.
Bimbingan pengguna itu, yang meliputi 925 item dalam IHP, akan bertindak sebagai rujukan kepada pergerakan harga barang dan perkhidmatan selepas GST.
- Bernama

