Usaha seorang ahli Parlimen pembangkang untuk membawa usul membantah penyenaraian keluar PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) dari Bursa Malaysia ditolak di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata usul yang dibawa oleh Gooi Hsiao Leung (PKR-Alor Setar) itu telah ditelitinya dan didapati tiada keperluan untuk dibawa ke Dewan, memandangkan isu tersebut sudah dalam perhatian kerajaan.

    

Bagaimanapun, keputusan Pandikar Amin itu tidak dapat diterima beberapa Anggota Parlimen pembangkang yang kemudiannya cuba untuk mencabar keputusan tersebut.

    

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) turut mencelah dalam perbalahan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu.

    

Perbalahan hampir 15 minit itu akhirnya berhenti setelah Pandikar Amin memberi amaran untuk menyuruh mana-mana lagi anggota Parlimen yang membantah keputusannya itu, walaupun telah berkali-kali  diperjelaskan, supaya keluar dari Dewan.

    

"Sila teruskan setiausaha sebelum ada lagi orang yang saya usir," kata Pandikar Amin.

- Bernama