Bekas timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa dilihat 'kendur' apabila mula beralah dalam isu pelantikannya ke Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara.

Namun jika dilihat, kenyataan beliau itu bernada sinis selepas keputusan FAM untuk tidak menghadiri mesyuarat dengan jawatankuasa berkenaan selagi isu pelantikan Annuar tidak selesai.

NONE "Saya telah membuat pendirian bahawa sekiranya pelantikan saya menjadi isu yang boleh menyebabkan FAM tidak selesa untuk bekerjasama dengan jawatankuasa ini, saya secara sukarela dan ikhlas menawarkan diri untuk berundur supaya FAM dan KBS sentiasa dapat bekerjasama," tulisnya di Facebook semalam.

Pergeseran akhir-akhir ini antara FAM dan Annuar serta seorang lagi bekas presidennya Khairy Jamaluddin - kini menteri belia dan sukan - memperlihatkan situasi kurang baik untuk dunia sukan negara.

Kenyataan FAM bahawa mereka tidak akan duduk semeja dengan jawatankuasa yang dipengerusikan Khairy sehingga mendapat hitam putih dari Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu dilihat merencatkan lagi rancangan pembangunan sukan negara.

Keadaan ini menjadi serius apabila Majlis Sukan Negara memberi lampu hijau terhadap pelantikan Annuar dalam jawatankuasa tersebut Sabtu lalu.

Timbalan Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) Windsor John pula pada hari sama meminta FAM memberi penjelasan mengenai penggantungan Annuar dan mencadangkannya tidak terlibat dalam jawatankuasa itu.

"FAM perlu memberi penjelasan adakah penggantungan tersebut bermakna Annuar tidak boleh memegang jawatan atau tidak terlibat langsung dalam aktiviti bola sepak," kata beliau kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Timbalan Presiden FAM Datuk Subahan Kamal kelmarin tidak mampu menjawab pertanyaan tersebut dan hanya menunggu keputusan AFC dan FIFA berkenaan perkara itu.

"Datuk Hamidin (Amin) setiausaha agung FAM akan menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan AFC esok (semalam) dan akan meminta nasihat AFC berhubung isu ini.

"Sehingga itu kita tiada komen untuk dibuat," beliau dipetik sebagai berkata dalam sidang media di ibu pejabat FAM semalam.

Annuar digantung 30 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 5 April 2012 selepas didapati bersalah membuat kenyataan akhbar mengenai pasukan kebangsaan yang melanggar Artikel 88 Statut FAM.

Annuar bagaimanapun tegas dan yakin bahawa pelantikan beliau tidak menyalahi peraturan.

"Perlu dijelaskan bahawa penggantungan oleh FAM terbatas setakat aktiviti bola sepak kelolaannya dan bagi aktiviti badan gabungannya sahaja.

"FAM dan kuasanya tidak terpakai bagi badan atau aktiviti pihak lain di luar organisasinya, apa lagi kerajaan atau kementerian," tulis beliau di Facebook miliknya Sabtu lalu.