Program pemantapan bahasa perlu diperluas
Program pemantapan bahasa kebangsaan perlu diperluas kepada masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata program Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu dapat membantu meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan bumiputera Sabah dan Sarawak khususnya yang tinggal di pedalaman dan luar bandar.
"Program seperti ini dapat meningkatkan keyakinan mereka untuk menulis dan bertutur menggunakan bahasa kebangsaan terutamanya dalam urusan rasmi," katanya ketika merasmikan Program Pemantapan Bahasa Pemimpin Masyarakat Orang Asli 2013 di Menara DBP, di Kuala Lumpur semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Awang Sariyan dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Datuk Mohd Sani Mistam.
Program anjuran DBP dan JAKOA itu disertai oleh 144 peserta meliputi tok batin, pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung Orang Asli dan pelajar dari Kelas Dewasa Orang Asli Penan (Kedap).
Program bertujuan memberi ruang kepada masyarakat dan pemimpin Orang Asli untuk mempelajari bahasa Melayu dengan baik dan betul bagi kegunaan pertuturan harian, pengucapan awam dan penulisan dokumen rasmi, di samping meningkatkan keyakinan diri, khususnya dalam kalangan pemimpin masyarakat orang Asli.
Program merupakan kesinambungan aktiviti bahasa dan sastera yang dianjurkan bersama oleh DBP dan JAKOA negeri Selangor pada 2011 dan Program Apresiasi Bahasa dan Sastera Bersama Masyarakat Orang Asli serta Pertandingan Seni Budaya masyarakat Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2012.
- Bernama

