Pengerusi Gerakan PP beli bata dana bangunan M'kini
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow menjadi pemimpin pertama BN di negeri itu yang menyumbang kepada kempen 'Buy a Brick' untuk mengumpul RM3 juta bagi membiayai kos pejabat baru Malalylsiakini di Petaling Jaya.
Beliau menyumbang RM1,000 untuk kos bata tersebut. Ahli politik lain yang turut menyumbang sebelum ini ialah Timbalan Presiden PAS Mohammed Sabu, bekas ahli Parlimen Datuk Saifuddin Abdullah dan 40 wakil rakyat DAP yang telah berikrar untuk menyumbang sejumlah RM40,000.
Dinamakan @Kini, bangunan berkembar yang terletak di PJ51 Business Park di Seksyen 51, menelan belanja RM7 juta termasuk kos pengubahsuaian .
"Mat Sabu melakukannya untuk tujuan politik. Saya
melakukannya kerana saya menyokong kebebasan akhbar," kata Teng di ibupejabat Gerakan negeri semalam.
"Beliau memilih masa yang tepat kerana beliau hendak bertanding jawatan timbalan presiden PAS. Saya melakukannya walaupun kalah jawatan presiden Gerakan kebangsaan," katanya.
Teng berkata beliau menyokong penuh perlunya kebebasan akhbar kerana ia menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti dalam urus tadbir, sambil menegaskan bahawa Malaysiakini telah memainkan peranan tersebut sejak penubuhannya pada tahun 1999.
"Ini walaupun terdapat banyak tafsiran mengenai apa yang telah dilakukannya untuk beberapa parti politik , sama ada bagi kerajaan atau pembangkang," katanya.
"Bagi saya itu tidak penting. Apa yang penting ialah kita perlu menegakkan kebebasan laporan, profesionalisme dan etika kewartawanan. (Jadi) tidak kira sama ada Malaysiakini memberi publisiti yang baik atau buruk."
Ditanya pandangannya liputan portal berita itu mengenai isu-isu di Pulau Pinang, di mana BN menjadi pembangkang, Teng berkata ia perlu melaporkan apa yang kerajaan dan pembangkang perlu lakukan, seperti dalam kes lawatan kerajaan negeri ke China.
Bagi laporan kritikan terhadap BN, Teng berkata ia memang dijangkakan tetapi turut menegaskan bahawa ahli politik jarang mengucapkan terima kasih kepada wartawan apabila laporan positif disiarkan.
"Kami tidak pernah secara terbuka memuji mereka, berterima kasih kepada mereka atau menyiarkan iklan berkata 'terima kasih banyak-banyak' kerana memberi kita publisiti yang baik!
"Tetapi apabila mereka menulis sesuatu yang buruk, ada orang yang menghalau mereka dari sidang akhbar, larang mereka hadir, mengambil tindakan undang-undang (atau) juga mengutuk mereka dan membuat kenyataan menyindir, yang saya fikir itu tidak betul.
"Jika saya telah disalah petik, saya akan mengatakan bahawa saya telah gagal untuk menyatakan pandangan saya dengan baik. (Tetapi saya tidak bersetuju dengan sesiapa sahaja yang dengan sengaja) memutarbelit dan memesongkan kenyataan saya..."
Balasan atas sokongan
Sejak kempen itu dilancarkan pada 15 November, seramai 240 penyokong telah membeli bata dengan kutipan sejumlah RM282,240.
Nama penyumbang akan diukir pada bata, yang akan dipasang
secara kekal di dinding bangunan baru itu.
Mereka juga akan diberi langganan dan pengiklanan bernilai RM1,000.
Sumbangan korporat sebanyak RM25,000 dan RM50,000 akan dibalas dengan kadar langganan dan pengiklanan yang sama nilainya, manakala sumbangan yang lebih kecil juga diterima.
Sila klik di sini untuk maklumat lanjut mengenai bagaimana anda boleh turut serta.

