Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan akhir tahun lepas bagi mencapai kata sepakat berhubung isu penghapusan etnik Muslim Rohingya di Myanmar.

Hasil dari perhimpunan tersebut, satu resolusi dipersetujui dengan menggesa kerajaan Myanmar mengambil tindakan memperbaiki situasi dengan melindungi hak asasi manusia dan memberi hak kewarganegaraan masyarakat Islam.

Namun, reaksi cukup negatif ditunjukkan oleh masyarakat Buddha Rakhine.

Di saat Muslim Rohingya diperintah berkurung, mereka menyerang dengan ganas pasar raya utama Maungdaw di Arakan dengan membakar tujuh kedai dimiliki orang Islam dan membuat rompakan di 12 kedai.

Mereka juga membakar masjid tertua di Arakan yang didirikan dari abad ke-19 yang dikenali sebagai ‘Hakim Ali'.

Pada November 2013, delegasi OIC membuat lawatan ke Myanmar bagi meninjau nasib Muslim Rohingya yang terpaksa hidup dalam keadaan terancam.

Ekmeleddin Ihsanoglu, setiausaha agung OIC dan anggota delegasi yang lain menghabiskan 4 hari untuk bertemu presiden, menteri, kumpulan agama dan agensi PBB.

Tetapi, Aung San Suu Kyi enggan menemui mereka.

Dalai Lama perlu bersuara

Reaksi dari lawatan delegasi tersebut, satu demonstrasi dilancarkan oleh puak sami Buddha esktrimis sebagai tanda protes.

Demonstrasi yang mendapat cop ‘halal' dari pihak berkuasa kerajaan Myanmar dengan jelas membawa mesej ingin mengisyiharkan perang ke atas Islam dan kaum muslimin.

Tidak cukup dengan melakukan pembunuhan beramai-ramai, membakar hidup-hidup mangsa, membakar masjid, memusnahkan kubur, menyeksa kanak-kanak dan merogol gadis-gadis tanpa sifat kemanusiaan, mereka dengan berani mengangkat sepanduk yang membawa mesej melabelkan Islam sebagai agama haiwan.

Dengan jelas, mereka mahu melenyapkan Islam di bumi Myanmar dengan meneruskan penindasan dan penghinaan terhadap umat Islam.

Di Malaysia, satu tindakan diambil anara NGO dengan menubuhkan Koaliasi Menentang Ekstrimisme Agama di Myanmar (CAREM) bagi mengutuk sekerasnya terhadap penghinaan Islam yang dipamerkan dalam demonstrasi tersebut.

Mohd Azmi Abdul Hamid bertindak sebagai koordinator CAREM mendesak semua penganut agama di dunia yang cintakan kedamaian, keharmonian dan saling hormat antara agama supaya menyatakan sikap dan mengecam tindakan kelompok esktrimis di Myanmar.

Tindakan kejam yang kumpulan itu melanggar Deklarasi Hak Asasi Manusia PBB, Mereka melakukan keganasan antara agama.

Dalai Lama sebagai ketua kerohanian penganut Buddha seluruh dunia perlu bersuara agar kerajaan Myanmar menghentikan penindasan terhadap penganut agama lain.

Protes di Sukan SEA

Anggota negara-negara ASEAN juga tidak boleh berdiam diri dengan sikap lepas tangan dan membisu dengan terus memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar supaya menghentikan polisi penindasan terhadap agama lain.

Jika Myanmar terus bersikap ekstrim dan menjadikan masyarakat Islam Rohingya dalam suasana ketakutan, maka kedudukan Myanmar sebagai pengerusi ASEAN 2014 juga perlu dikaji semula.

Negara-negara OIC juga perlu sebulat suara dalam menyatakan bantahan terhadap kebiadapan ekstrimis Buddha yang secara hakikatnya disokong oleh kerajaan Myanmar.

OIC perlu mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Myanmar dan menuntut supaya semua kedutaan Myanmar di negara-negara OIC dihalau keluar jika kempen membenci Islam tidak dihentikan serta-merta.

Pendirian kerajaan Malaysia juga masih dinanti-nantikan di saat Kejohanan Sukan SEA kali ke-27 yang bakal berlangsung di Myanmar bermula 11 Disember ini.

Kerajaan Malaysia sewajarnya membatalkan penyertaan olahragawan dan olahragawati Muslim dari Malaysia ke Sukan SEA tahun ini atas alasan kerajaan Myanmar bersikap anti-Islam dan kehadiran atlet Islam yang tidak selamat dan tidak terjamin.

Seterusnya, kerajaan Malaysia secara bijaknya digesa untuk menghantar memorandum bantahan kepada kedutaan Myanmar agar kerajaan Myanmar menghormati agama Islam dengan memberi kebebasan kepada orang Islam untuk hidup aman dan tenang sebagaimana penganut agama Buddha merasai kebebasan beragama di Malaysia.

Rakyat juga masih menunggu di mana suara Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang sinonim dengan membawa aspirasi anak muda agar memberi respon dengan penglibatan atlet Islam dalam Kejohanan Sukan SEA di Myanmar kali ini.


ABDUL MALIK AB RAZAK mahasiswa tahun 3 di Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

ADS