Loga lepas dari dihadap ke JK Parlimen
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan tidak perlu dihadapkan ke jawatankuasa hak dan kebebasan Parlimen selepas beliau diputuskan tidak berniat mengelirukan dewan dalam kenyataannya di Parlimen minggu lepas berhubung kenaikan cukai taksiran.
Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia (
kanan
) membuat keputusan itu selepas mendengar penjelasan Loga Bala di Dewan Rakyat pagi tadi.
Menurutnya, kenyataan Loga Bala tidak memenuhi syarat prima facie "kenyataan yang dibuat adalah salah" seperti termaktub dalam Peraturan Mesyuarat 36(12) bagi mengheret beliau ke jawatankuasa itu.
"Saya tidak nampak ada niat untuk mengelirukan.
"Kenyataan itu tidak mengelirukan dewan atau bercanggah, tetapi penyampaian berbeza dengan menteri dan penerimaan itu berbeza.
"Hakikat yang sebenar ialah seperti yang kita sedia maklum, cukai pintu akan dinaikkan juga tetapi nilai muktamad belum ditentukan," kata Pandikar sewaktu mengumumkan keputusannya.
Loga Bala dalam ucapan di Dewan Rakyat pada 27 November lalu mendakwa kenaikan cukai taksiran akan ditangguh sehingga Mac tahun depan bagi memberi laluan kepada bantahan pembayar cukai terhadap kadra baru.
Namun keesokannya, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan kadar baru itu tetap akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2014.
Pembayar cukai bagaimana pun mempunyai pilihan untuk menangguhkan bayaran sehingga akhir bulan Mac apabila bantaha mereka selesai didengar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
MP Segambut, Lim Lip Eng mendakwa kedua-dua kenyataan itu bercanggah dan mahu merujuk Loga Bala kepada jawatankuasa hak dan kebebasan Parlimen.

