Pindaan perlembagaan untuk SPRM lebih bebas
Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah 2012 yang dibentuk di peringkat Parlimen hari ini memaklumkan perdana menteri bertekad membentangkan pindaan perlembagaan seawal sidang Dewan Rakyat pertama 2014 untuk menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih bebas.
Pengerusi jawatankuasa itu, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata Datuk Seri Najib Razak memaklumkannya yang beliau memerlukan jaminan pindaan itu, akan mendapat persetujuan dua pertiga anggota Dewan Rakyat.
Justeru, langkah berkenaan memerlukan sokongan anggota pembangkang yang menguasai 89 kerusi memandangkan BN kini tidak lagi menguasai dua pertiga majoriti Parlimen.
Jika pindaan itu diluluskan, ketua pesuruhjaya SPRM akan dilantik menerusi satu suruhanjaya perkhidmatan, dan tidak lagi dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri seperti sekarang.
Suruhanjaya perkhidmatan yang sama juga akan melantik pegawai SPRM yang lain.
"Kami harap semua anggota (dewan) akan turut menyokong demi manfaat kepada negara," kata Abu Zahar kepada pemberita di pejabatnya di Parlimen hari ini.
Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata beliau yakin pindaan itu akan mendapat sokongan rakyat kerana ia adalah perkara yang telah diperjuangkan Pakatan Rakyat selama ini.
Letak jawatan jika ditolak Pakatan
Beliau turut memberi jaminan akan meletak jawatan jika Pakatan tidak menyokong pindaan itu.
Sementara itu, jawatankuasa sama turut mengusulkan pindaan terhadap Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang menyentuh tentang konflik kepentingan kekayaan melampau.
Menurut Abu Zahar, pindaan Seksyen 36 akan membolehkan SPRM menyiasat mana-mana individu dengan yang disyaki kaya melampau kerana rasuah tanpa perlu menunggu laporan dibuat terhadap individu berkenaan.
Pindaan terhadap Seksyen 23 pula bagi mengelakkan mereka yang mempunyai kuasa mengeksploitasinya untuk membebaskan diri daripada dakwaan rasuah.
Sebagai contoh ketika ini, seorang individu yang mengecualikan dirinya daripada mesyuarat yang membuat keputusan untuk menganugerahkan kontrak kepada keluarganya - tidak boleh didakwa dengan rasuah.

