Donald Lim tanding timbalan presiden MCA
Naib Presiden MCA Donald Lim mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan timbalan presiden parti Cina itu, sekali gus menyebabkan pertembungan dua penjuru dengan Ketua Pemuda Wee Ka Siong.
Kira-kira 200 anggota parti daripada Selangor hadir ketika Lim, yang juga pengerusi MCA negeri, mengadakan sidang media bagi mengumumkan perkara itu di Wisma MCA hari ini.
Pada 2008, beliau pernah bertanding jawatan sama menentang timbalan pada pada masa itu Dr Chua Soi Lek, yang menyaksikan kekalahannya.
Ditanya pilihannya sebagai presiden parti, Lim enggan mengulasnya. Beliau menegaskan tidak berpakat dengan mana-mana pihak dan akan meninggu penamaan calon pada 16 Disember untuk senarai akhir.
Ini kerana, tambahnya, beliau masih belum pasti pihak yang menawarkan diri akan turun pada hari ini dan kemungkinan juga lebih ramai akan bersaing bertanding jawatan pilihan masing-masing.
Setakat ini, tiga pemimpin MCA sudah menyatakan hasrat bertanding jawatan presiden parti, iaitu, bekas presiden Ong Tee Keat, timbalan presiden Liow Tiong Lai dan naib presiden Gan Ping Sieu.

