Rasional sebelum rasionalisasi subsidi
ULASAN Angkatan Muda Keadilan (AMK) memandang serius kenaikan 14.9 peratus tarif elektrik yang baru diumumkan oleh kerajaan.
Ini tentunya satu lagi tamparan besar kepada rakyat selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU). Ternyata slogan "rakyat didahulukan" yang gah dicanangkan oleh BN adalah pisau bermata dua.
Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui laman sesawang mereka, secara purata, pengguna domestik akan mengalami kenaikan sebanyak 10.6 peratus (3.03 sen/kWj).
Di samping itu kerajaan akan meneruskan program rebat untuk pelanggan dengan bil bulanan sebanyak RM20 atau ke bawah masih dikekalkan.
AMK ingin mempersoalkan, apakah pengurangan subsidi dalam banyak sektor tidak cukup untuk menampung sikap belanja tidak berhemah kerajaan?
Jika ya, maka pihak kerajaan perlu mengambil tanggungjawab penuh. Jangan disalahkan rakyat jika mereka mengelak cukai walhal pengkhianat sebenar terus boros berbelanja.
Ini dapat dilihat daripada bil elektrik kediaman perdana menteri, Seri Perdana yang mencecah RM2.2 juta setahun atau sekitar RM8,000 sehari, meningkat daripada sekitar RM6,000 sehari pada tahun lalu.
Ini bermaksud, rakyat perlu mengubah cara hidup kecuali perdana menteri dan pemimpin BN.
Menanggung kerajaan yang boros dan tidak sedar diri bukan lagi satu sikap patriotik, sebaliknya ia adalah sejenis perhambaan.
Idea 2 minggu?
AMK maklum bahawa kerajaan pernah menguar-uarkan bahawa kajian terperinci akan dibuat berkaitan tarif elektrik ini.
Maka, dengan pengumuman kenaikan tersebut, AMK menggesa pihak kerajaan mendedahkan dapatan kajian tersebut kepada umum untuk diteliti.
Meskipun ada pengecualian tertentu diberikan untuk penggunaan elektrik pada kadar rendah rendah, AMK percaya kesan kos tidak harus hanya bertumpu kepada penggunaan oleh individu tetapi juga kepada perusahaan di mana kos ini nanti akan dipindahkan pula kepada orang ramai.
AMK peka dengan kenyataan presiden dan ketua pegawai eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Ir Azman Mohd bahawa peningkatan ini adalah berpunca daripada rasionalisasi harga gas, iaitu bahan bakar untuk menghasilkan elektrik oleh Petronas.
Namun, timbul tanda tanya bagaimana Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan boleh mengeluarkan kenyataan seperti yang dilaporkan oleh akhbar Berita Harian bertarikh 22 November 2013, iaitu sekitar dua minggu lalu.
Beliau dilaporkan berkata, kadar tarif elektrik kekal berikutan kestabilan harga minyak dunia. Lebih aneh lagi, dalam kenyataan beliau, Kementerian Kewangan tidak dipanggil untuk mendengar taklimat berkaitan kenaikan tarif elektrik.
Ini adalah sesuatu yang serius, menggambarkan kadar tarif baru ini seolah-olah hanya baru difikirkan dalam tempoh dua minggu sahaja.
Selain itu, AMK menggesa agar Petronas dipertanggungjawabkan kepada Parlimen dan tidak lagi hanya kepada perdana menteri.
Peningkatan kecil hasil Petronas, iaitu pada kadar hanya 1 peratus antara tahun 2011 dan 2012, di samping kemerosotan keuntungan pada kadar 17.3 peratus, iaitu daripada RM59.7 bilion kepada RM49.4 bilion, sebagaimana dilaporkan dalam Laporan Tahunan Petronas 2012 menuntut pemerhatian lebih teliti terhadap syarikat minyak negara itu.
AMK juga melihat keghairahan kerajaan BN untuk menaikkan kadar tarif elektrik ini sangat tidak bertepatan dengan kondisi dan bebanan kos sara hidup rakyat pada masa kini.
Propagandakan istilah
Masih terkesan dengan kenaikan harga petrol, pemansuhan subsidi gula, rakyat secara berterusan ditekan secara sistematik melalui kenaikan kadar tarif elektrik ini.
Kesan rantaian yang terhasil daripada siri-siri kenaikan harga ini, atau yang dilunakkan oleh kerajaan dengan istilah "rasionalisasi subsidi", hanya menyebabkan rakyat mengalami tekanan yang berterusan.
Sudah pasti dengan kenaikan kadar ini akan turut mengesani kos operasi penyedia perkhidmatan dan jualan yang kelak akan terpaksa menaikkan harga susulan daripada kenaikan kos operasi yang tidak boleh dielak.
Walhasil, rakyatlah yang terus berhadapan dengan krisis kos sara hidup.
Dalam keadaan kerajaan akan turut memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015, maka sudah pasti akan berlaku lagi kenaikan kadar elektrik yang pasti tidak boleh dielakkan sama sekali.
Dalam konteks ini, sekiranya kerajaan masih berhasrat untuk melaksanakan pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada kadar RM600 atau pun pada kadar maksimum RM1200 sekalipun, ia langsung tidak memberi apa-apa kesan signifikan dalam keadaan bantuan one-off itu langsung tidak berupaya mengawal kesan rantaian yang berlaku sepanjang tahun.
Sudah sampai masanya kerajaan berhenti mempropagandakan istilah "rasionalisasi subsidi" untuk menjustifikasikan kenaikan harga tidak terkawal ini, sebaliknya kerajaan sendiri digesa bersikap rasional dengan bebanan rakyat terbawah yang terus menerus ditekan.
AMK ingin mencadangkan agar pihak kerajaan meliberalisasikan penggunaan sistem solar oleh individu di mana ia boleh bukan sahaja membantu mengurangkan kos bagi orang ramai atau perusahaan tetapi juga dapat menggalakkan penggunaan tenaga yang mesra alam sekitar.
Kekangan untuk orang ramai menggunakan tenaga solar ini perlu dihapuskan terlebih dahulu untuk membolehkan semua pihak mempunyai alternatif yang dapat meringankan beban mereka.
Sayangnya, ia tidak berlaku dan ini sekali lagi menunjukkan kerajaan tidak cermat dalam menjalankan penyelidikan dan sekaligus tidak mengutamakan rakyat.
SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN ahli Parlimen Bukit Katil, Melaka dan ketua Pemuda PKR.

