Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencadangkan supaya fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai jaminan supaya akidah umat Islam di negara ini dipelihara.

"Selain itu, bagi memastikan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamah sentiasa terpelihara, saya mencadangkan agar satu jaminan terhadap aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan umat Islam di negara kita dimasukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Berucap ketika merasmikan mesyuarat agung sayap Umno di Kuala Lumpur malam ini, beliau juga menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai agama persekutuan mesti dipertahankan selari dengan prinsip keseimbangan dalam perlembagaan.

Katanya, walaupun prinsip kebebasan di negara ini tidak selari dengan di Barat, ia penting untuk menjamin keharmonian dalam hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.

"Kita tidak akan sekali-kali tunduk kepada tuntutan-tuntutan yang bercanggah dengan Perlembagaan seperti menghapuskan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, menghina agama Islam, menghina institusi Raja, tidak menghormati bahasa Melayu dan lain-lain," katanya.