Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan boleh menubuhkan jawatankuasa penaja bagi mengambil alih kepimpinan Umno Bahagian Kepong, jika 27 daripada 33 pemimpin bahagian itu meneruskan 'ugutan' untuk meletak jawatan.

    

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata tindakan mereka hendak meletak jawatan yang dimenangi dalam pemilihan parti Oktober lepas, adalah satu bentuk ugutan selepas keputusan muktamad diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Umno Pusat.

    

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini bagi mengulas gesaan Umno bahagian Kepong semalam agar pemilihan jawatan Timbalan Ketua Bahagian itu diadakan semula, atau 27 daripada 33 kepimpinan Umno bahagian berkenaan akan meletak jawatan.

    

Setiausaha Umno bahagian itu Ahmed Zaharani Yusof Omar berkata ini kerana dua pertiga daripada kepimpinan bahagian tidak berpuas hati apabila kemenangan Mohd Khilmi Yusop bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian pada 19 Oktober lepas ditarik balik tanpa penjelasan munasabah, selain 21 undi rosak disahkan boleh digunapakai.

    

"Sesiapa sahaja yang mahu letak jawatan, kita tidak boleh halang, terserah. Kalau tidak boleh terima keputusan muktamad, terserahlah. Badan Perhubungan Umno akan ambil alih bahagian Kepong, buat penaja semula sebab kita serius mahu jalankan parti," katanya.

    

Syed Ali juga yakin Lembaga Disiplin Umno tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika kepimpinan bahagian terus memutarbelitkan fakta melalui kenyataan kepada media.

    

"Tidak ada sebab munasabah untuk diadakan pemilihan semula kerana pertamanya, jika mahu diadakan semula, ia memerlukan sebab yang kukuh dan munasabah.

    

"Kita juga telah meneliti semula undi rosak dan dapati ia tidak rosak selain kita juga telah memanggil semua pihak, termasuk calon menang dan kalah, wakil calon dan pengerusi pemantau pemilihan untuk berbincang mengenai perkara ini," katanya.

    

Beliau berkata kertas undi rosak itu disemak semula oleh Setiausaha Kerja Umno Pusat Datuk Ab Raof Yusoh, wakil ibu pejabat Umno Pusat, Setiausaha Kerja Umno Wilayah Persekutuan dan pengerusi Jawatankuasa Pemantau Pemilihan Umno bahagian Kepong, yang mengesahkan ia tidak rosak.

    

Syed Ali berkata keputusan muktamad dengan mengisytihar Datuk Norizan Ali menang jawatan Timbalan Ketua Bahagian dilakukan Jawatankuasa Pengurusan Umno selepas meneliti laporan Badan Perhubungan dan diperakui Jawatankuasa Khas Bantahan Umno, yang diketuai Tan Sri Azmi Khalid.

    

"Kita telah menulis surat rasmi kepada kepimpinan bahagian dengan mengatakan keputusan kita adalah muktamad. Kita tidak mahu perkara ini berlanjutan, terimalah keputusan ini kerana kita mahu teruskan kerja ke arah pilihan raya umum ke-14," katanya.

- Bernama