Enam pelajar Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) berjaya diselamatkan hari ini selepas terperangkap di rumah sewa mereka di Kampung Bukit Tok Bat di Hulu Terengganu berikutan air naik mendadak.

    

Kesemua pelajar wanita itu diselamatkan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kira-kira pukul 9 pagi.

    

Nur Shafika Mohd Hussin, 20, berkata dia bersama lima lagi rakannya menyedari air naik secara mendadak kira-kira pukul 6 pagi.

    

Katanya sebelum itu mereka dimaklumkan oleh warden kemungkinan kediaman mereka dinaiki air dan mula mengemas peralatan serta dokumen penting pada 1 pagi.

    

"Saya perasan air mula naik kira-kira jam 3 pagi tetapi tidak menyangka akan naik mendadak ke paras dada sehingga menyekat laluan kami untuk menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita di Hulu Terengganu hari ini.

    

Sementara itu Fatimah Safiera Mohd Azmi, 18, pula berkata melihat keadaan makin parah dia berasa berdebar-debar apabila air mula naik mendadak di kawasan rumah berkenaan.

    

"Saya bersyukur kerana pihak JPAM datang memberi bantuan kepada kami dalam keadaan banjir semakin buruk di kawasan itu," katanya.

    

Pegawai JPAM Daerah Hulu Terengganu, Hishamuddin Abdullah berkata JPAM menerima panggilan kira-kira 8 pagi daripada orang ramai memaklumkan enam pelajar yang terperangkap di rumah mereka.

    

"Kita menggunakan sebuah bot untuk menyelamatkan enam pelajar berkenaan dengan dua anggota. Bagaimanapun, 30 anggota terlibat dalam operasi itu bagi memastikan segala barangan yang dibawa di dalam bot dapat diselamatkan," katanya.

    

- Bernama