Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyelar pemimpin Pakatan Rakyat yang digelarnya sebagai "pengkhianat negara" kerana didakwa menakut-nakutkan pelabur di projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia di Pengerang, Johor.

Menurut Zahid, Pakatan tidak seharusnya melakukan perkara yang boleh menjejaskan pendapatan negara dan mencemarkan nama Malaysia di mata dunia.

"Pada hemat saya kita boleh berbeza pendapat, kita boleh berlainan pendirian tapi demi kepentingan negara mereka tak seharusnya lakukan sabotaj kepada mana-mana pelaburan terus asing).

"Saya anggap kumpulan itu adalah kumpulan penderhaka kepada negara. dan orang seperti ini tak layak jadi ahli politik, tak layak jadi ahli parlimen kalau mereka itu ahli parlimen," kata Zahid.

Bercakap kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini, Zahid berkata golongan itu sepatutnya mencontohi kerajaan BN yang menurutnya tidak pernah mengkhianati sebarang pelaburan ke negeri Pakatan.

"Dalam keadaan apa sekalipun, seperti di Pulau Pinang, kerajaan BN tak pernah menekan pelaburan untuk dibawa ke Pulau Pinang," kata beliau.

Tambahnya, tindakan menakut-nakutkan pelabur seperti itu bukan sahaja mengkhianati negara, malah turut mengkhianati rakyat yang mengundi mereka sendiri di Pengerang.

"Pasti pengkhianatan dilakukan (kepada rakyat), itulah sebab saya labelkan mereka penderhaka," katanya.

Beliau mengulas ucapan dasar presiden Datuk Seri Najib Razak sebelum itu, yang membangkitkan dakwaan tersebut.

Najib mendakwa, Presiden Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas memberitahunya bahawa  tindakan pemimpin parti berkenaan menyebabkan Malaysia kerugian “hampir RM40 bilion pelaburan asing dari Taiwan" ekoran tindakan itu.