Bekas anggota Dewan Undangan Negeri Teratai, Jenice Lee Ying Ha hari ini menfailkan saman terhadap DAP, bagi memohon pengisytiharan bahawa beliau masih ahli parti itu.

    

Lee, 33, menfailkan writ saman melalui Tetuan Harjit Sandhu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur dan menamakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai defendan.

    

Lee dalam pernyataan tuntutannya memohon deklarasi supaya keahliannya dalam parti itu sejak 2001, dikekalkan.

    

Selain itu beliau juga memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada melucutkan keahliannya serta kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

    

Lee mendakwa pelucutan keahliannya oleh defendan, yang hanya diketahui melalui media pada 20 April lepas, adalah tidak sah.

    

Pada 5 Jun lepas, Lee memfailkan saman terhadap DAP berhubung pelucutan keahliannya dalam parti itu. Bagaimanapun pada 28 Oktober, dia menarik balik saman itu.

- Bernama