Pekerja kilang tekstil dan pakaian mengadakan demonstrasi aman sebagai membantah tindakan majikan yang didakwa tidak adil dan tidak mengiktiraf tuntutan mereka menubuhkan kesatuan sekerja. Mereka yang lengkap berpakaian seragam mula berkumpul di luar kawasan kilang sejak awal pagi ini.

"Demonstrasi disertai hampir 700 orang pekerja kilang Hualon kerana kami tidak berpuashati dengan penindasan pegawai," kata jurucakap jawatankuasa penaja kesatuan itu, Hazlan Ahmad berhubung demo pekerja yang bermula 6.30 pagi itu.

Pekerja turut membawa kain rentang, antaranya bertulis, "kami mahukan kesatuan sekerja", "kesatuan peguam kami", dan "kesatuan membela nasib kami".

Dalam perhimpunan itu, pekerja turut diawasi oleh sebuah trak polis antirusuhan dan tiga pegawai polis Cawangan Khas dari Ibu Pejabat Kontinjen Melaka, katanya kepada malaysiakini .

"Perhimpunan ini tidak akan tamat sehingga pekerja mendapat satu rundingan dengan pihak majikan," kata Hazlan, mengulas demo yang masih berjalan di luar kilang tersebut.

Demonstrasi juga dianjurkan sebagai susulan terhadap tindakan kira-kira 500 pekerja kilang itu yang menghantar memorandum tujuh tuntutan kepada Kementerian Sumber Manusia di Kuala Lumpur tengah hari semalam.

Rombongan kesatuan menemui Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Zainol Abidin Abd Rashid.

Bagaimanapun tiada keputusan dicapai dan kementerian menyuruh wakil pekerja tersebut supaya "bersabar" menunggu permohonan diluluskan, menurut sumber jawatankuasa penaja.

Perbincangan selama setengah jam itu turut dihadiri Ketua Pengarah Perhubungan Industri, Ismail Haji Abd Rahim dan dua orang pegawai di jabatan tersebut.

Manakala empat wakil penaja kesatuan ditemani Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Perusahaan Membuat Tekstil dan Pakaian Negeri Sembilan, S. Sevalingan dan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), G. Rajasekaran.

Tuntutan itu antaranya memohon pengiktirafan kesatuan, membantah kemasukan 1,200 pekerja Bangladesh yang dijangkakan 16 Jun ini, mendesak pertukaran serta tindakan ke atas 15 pegawai yang telah mengugut dan berkasar terhadap pekerja, dan membantah keputusan memberhentikan pekerja tempatan.

Selain itu, memorandum itu juga membangkitkan isu-isu penindasan, perkauman dan hak-hak pekerja.

Sebelum ini Sevalingam berkata, penaja kesatuan telah mematuhi syarat-syarat permohonan dan tiada bantahan di peringkat majikan. Jabatan Perhubungan Perusahaan juga telah bersetuju supaya majikan mengiktirafnya.

Sebaliknya kini pihak majikan didakwa berdolak-dalik dan mengemukakan bantahan yang tidak munasabah, jelas Sevalingam dalam surat kepada menteri berkenan yang bertarikh 5 Januari lalu.

Bagaimanapun pegawai Hal Ehwal Am Hualon, Andy Hung menjelaskan kepada malaysiakini , 'tuntutan melampau' serta 'tindakan agresif' para pekerja menyebabkan syarikat terpaksa membincangkan kesan penubuhan kesatuan itu.

"Pekerja tuntut gaji dinaikkan tetapi mereka tidak memahami masalah syarikat dan keadaan ekonomi yang belum pulih sepenuhnya," kata Andy.

Apabila ditanya dakwaan amalan tidak adil pegawai-pegawai kilang tersebut, Andy menegaskan, para pekerja perlu berbincang dan tidak mengambil tindakan melulu.