Gesaan selaras harga padi bantu petani Kedah
Perwakilan Kedah Datuk Othman Aziz meminta agar harga padi seluruh negara diselaraskan bagi membantu kehidupan golongan petani seluruh negara.
Menurut Othman harga yang tidak selaras itu menyebabkan pendapatan perkapita keluarga penanam padi di Kedah jauh lebih rendah dari purata seluruh negara.
"Lebih teruk lagi penanam padi di Kedah telah termaktub dan digazet dalam Skim Jaminan Makanan Negara dan tidak boleh menanam tanaman lain," katanya dalam perbahasan usul ekonomi di Perhimpunan Agung Umno hari ini.
Othman menambah tanaman padi hanya mendapat RM9,750 setiap hektar untuk setahun, kurang daripada tanaman sawit yang mencecah lebih RM10,000 untuk saiz tanah dan tempoh sama dengan kos dan risiko yang jauh lebih kurang.
"Penanaman padi ini selalu dikaitkan dengan kemiskinan dan Kedah merupakan Jelapang Padi negara," kata beliau.
Selain itu Othman turut memohon agar satu mekanisme dapat diwujudkan untuk mendapat pampasan air dari sungai Kedah ke Pulau Pinang.
Beliau berkata walaupun terdapat perjanjian sejak zaman British, Kedah memerlukan wang tambahan kerana tiada sumber asli lain di negeri yang tidak mempunyai sumber asli dan pelaburan asing seperti di negeri lain.
Jun lalu, Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kerajaan negeri mempunyai hujah berasas untuk mengenakan caj walaupun Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng awal-awal lagi mengemukakan alasan kerana enggan membayar harga tersebut.
Lim berkata kerajaan negeri tidak akan membayar caj air mentah yang diminta Kedah dengan alasan air anugerah Tuhan adalah percuma dan mengikut undang-undang antarabangsa negeri itu tidak perlu membayar sesen pun kepada Kedah.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga berkata air yang diambil oleh syarikat bekalan air negeri itu adalah dari sungai di sebelah negeri itu, bukan dari Kedah.
"Kita tahu Lim Guan Eng dah kata tak nak bayar dan bagi alasan mereka ambil air selepas sempadan Kedah walaupun sungai Kuala Muda itu dari Kedah.
"Kami minta pimpinan pusat wujudkan mekanisme dalam bentuk pampasan air yang digunakan atau beri peluang Kedah bina loji air besar dan jual air terawat kepada Pulau Pinang," katanya.

