38,000 mangsa di pusat pemindahan banjir di Pahang
Sebanyak 117 pusat pemindahan banjir masih dibuka dengan menempatkan 38,099 mangsa daripada 10,849 keluarga di lapan daerah di Pahang yang terjejas akibat banjir pagi ini.
Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, mereka yang dipindahkan setakat pukul 9 pagi ini membabitkan daerah Kuantan, Pekan, Temerloh, Jerantut, Rompin, Maran, Lipis dan Bera.
"Kuantan masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 32,880 orang yang ditempatkan di 38 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama hari ini.
Katanya di Pekan 3,464 mangsa ditempatkan di 26 pusat pemindahan, Temerloh (839 orang di 22 pusat pemindahan), Jerantut (392 orang di 10 pusat pemindahan), Maran (183 orang di lima pusat pemindahan), Rompin (172 orang di empat pusat pemindahan), Bera (116 orang di lapan pusat pemindahan) dan Lipis (53 orang di empat pusat pemindahan).
Sementara itu, beberapa jalan utama masih ditutup akibat dinaiki air melebihi satu meter, antaranya Km28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan, Km72 Jalan Kuantan-Segamat dan Km14 Jalan Temerloh-Bahau.
Di KUALA TERENGGANU, jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di Terengganu menurun kepada 6,758 orang pagi ini berbanding 7,167 orang malam tadi manakala Kuala Terengganu pula menjadi daerah terbaharu dilanda banjir.
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, sebuah keluarga mengandungi enam orang dari Kuala Terengganu dipindahkan 9.30 malam tadi di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Felda Belara, setelah kawasan rumah mereka dinaiki air.
Secara umumnya jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di beberapa kawasan yang terjejas di negeri ini mula berkurangan dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing semalam.
Di Dungun, jumlah mangsa di pusat pemindahan menurun kepada 4,101 orang daripada 1,000 keluarga apabila hampir 240 orang dibenarkan pulang lewat malam tadi.
Bagaimanapun mangsa di Kemaman pula masih kekal 2,450 orang daripada 595 keluarga.
Mangsa di daerah Hulu Terengganu dan Marang juga kekal seperti semalam iaitu 157 (39 keluarga) di Hulu Terengganu dan 44 (15 keluarga) di Marang.
Sehingga kini, sebanyak 1,650 keluarga telah dipindahkan ke 67 pusat pemindahan.
- Bernama

