VIDEO | 0.53 min

Menyentuh soal muzakarah Umno dan PAS, perwakilan Umno Perak, Mohd Nizam Zakaria berkata hanya Umno sahaja yang menunjukkan kesungguhannya.

Berucap membahaskan usul agama dan pendidikan di perhimpunan agung Umno pagi ini, beliau menyifatkan PAS bersikap sinis ekoran tindakan parti pembangkang itu meletakkan syarat-syarat yang menurutnya, tidak munasabah.

Sedangkan, Mohd Nizam yang juga naib ketua Umno Parit, berpendapat muzakarah perlu diadakan berlandaskan kejujuran dan keikhlasan kedua-dua pihak.

“Muzakarah Umno-PAS untuk mengukuhkan umat Islam di Malaysia, tapi yang saya lihat kita (Umno) sahaja yang beria-ia.

“Tapi, pihak satu lagi sinis dan meletakkan macam-macam syarat tidak munasabah. Muzakarah ini kena ikhlas dan jujur,” katanya.

Dalam usul yang sama, perwakilan Umno Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif menempelak ajaran Syiah yang disifat menyimpang daripada ajaran ahli sunnah wal jamaah.

“Saya mahu kerajaan memantau anak-anak, tidak mungkin tidak berlaku nikah dalam satu semester, empat semester, muta’ah di kalangan pelajar," katanya.

“Harap kerajaan pantau perkara ini, inilah yang dinyatakan perdana menteri berhubung Wasatiyyah," katanya.

Dalam ucapannya, Mohd Ariffin turut berharap kerajaan akan menemui cara yang tepat untuk memastikan pada masa akan datang semua rakyat Malaysia mampu berbahasa Arab.

Sementara itu, perwakilan Wanita Alor Star, Syarifah Maznah Syed Kassim Barakbah pula berkata, pergerakan itu mengalu-alukan muzakarah Umno-PAS atasnama perpaduan Islam demi mempertahankan syiar Islam.

"Saranan muzakarah Umno-PAS dialu-alukan. Wanita sedia menghulurkan tangan kepada PAS.

"(Ia) Demi mencapai kesepakatan kita dari segi agama untuk pembangunan umat Islam," katanya.