Pengidap kanser enggan ke pusat pemindahan banjir
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Demikian hal yang menimpa mangsa banjir warga emas, Aminah Abd Rahman, yang mengidap kanser mata.
Penglihatannya yang semakin kabur menyebabkan ia lebih rela tinggal kekal di rumah yang dikelilingi air daripada berpindah ke pusat pemindahan banjir di Kampung Lamir, dekat Pekan.
Aminah, 72, ditimpa penyakit itu sejak dua tahun lepas.
Anaknya, Nor Hakimi Abd Rahman, 41, ketika ditemui hari ini berkata: "Emak memang tak mahu pindah walaupun kami menggesa sebab bimbang paras air akan naik ke rumah.
"Tapi dia kata tak apalah sebab lebih selesa tinggal di rumah, nak makan ubat pun senang.
"Sejak rumah kami ditimpa banjir dua hari lalu saya dan kakak bergilir jaga emak di rumah.
"Kami guna bot jika mahu membeli keperluan atau memerlukan barangan lain sebab jalan keluar terputus akibat air naik ke paras pinggang," katanya.
Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Mohd. Fuad Jelani bersama 25 orang sukarelawan dari Pejabat Perdana Menteri turut melawat Aminah selepas menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 200 mangsa banjir di pusat pemindahan banjir itu hari ini.
Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga 4 petang ini di Pekan, masih terdapat 3,385 mangsa di 31 pusat pemindahan.
Sementara itu, seorang lagi warga emas, Mohd Yusof Awang Der, 67, terpaksa diusung bersama katilnya ke pusat pemindahan di kampung itu oleh pihak polis apabila rumahnya mula dinaiki air semalam.
Isterinya, Jamaliah Yunus, 66, berkata suaminya lumpuh dan terlantar di katil akibat disondol lembu dua tahun lepas.
"Masa air naik semalam polis datang ke rumah, panggil makcik suruh pindah walaupun masa tu air tak tinggi lagi," katanya.
- Bernama

