Dua pegawai dan 11 penuntut kursus asas komando Kem Sungai Udang yang dilaporkan hilang di perairan Selat Melaka semalam selepas bot yang dinaiki mereka terbalik, ditemui awal pagi ini di pesisiran Pengkalan Perigi, Melaka kira-kira 12 kilometer dari lokasi kejadian.

Panglima Tentera Darat Jen Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor hari ini berkata kesemua mangsa ditemui terdampar di pesisiran itu oleh orang awam kira-kira 2 pagi ini.

Beliau berkata semasa ditemui, mereka berada dalam keadaan lemah selepas terpaksa berenang sambil berpaut pada bot ke pesisiran pantai untuk menyelamatkan diri.

"Kesemua mangsa sudah menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak. Laporan menunjukkan mereka berada dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mereka adalah antara 44 pegawai dan penuntut yang menaiki tiga bot dalam perjalanan pulang dari Sungai Udang ke Pulau Upeh, yang jaraknya kira-kira 7km, selepas menjalani latihan mendayung kira-kira 4 petang, Sabtu lepas.

Bot yang membawa mangsa terpisah daripada kumpulan berkenaan setelah dipukul ombak di perairan Pulau Upeh kira-kira 10.30 malam.

"Bot mereka terbalik menyebabkan enjin gagal berfungsi sepenuhnya... ini menyebabkan kesemua mereka terpaksa berpaut pada bot dan berenang ke pesisiran pantai sejauh kira-kira 12 hingga 13 kilometer dari lokasi kejadian," kata Raja Mohamed Affandi.

-Bernama