'Tiada latihan rasmi untuk Akta Perhimpunan Aman'
Seorang anggota polis yang memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkata beliau “tidak begitu memahami” Akta Perhimpunan Aman 2012, walaupun ditugaskan untuk menangani permohonan bagi mengadakan perhimpunan mengikut undang-undang itu.
Lans Kpl Zieharina Baharuddin berkata tiada latihan rasmi dijalankan kepada pegawai polis tersebut berhubung akta tersebut, dan mereka hanya “mengikut bimbingan pemimpin terdahulu”.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas dalam perbicaraan melibatkan empat orang wakil Pakatan Rakyat yang dituduh melanggar akta tersebut susulan perhimpunan 'Black 505' di Kuala Lumpur pada 22 Jun lalu.
MP Pandan Rafizi Ramli, MP Seremban Anthony Loke, ADUN Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad dan kakitangan PKR Muhammad Adib Ishar didakwa menganjurkan perhimpunan tersebut tanpa kelulusan.
Sekiranya disabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda maksimum RM10,000.
Zieharina merupakan pegawai yang menerima dan memproses permohonan oleh Muhammad Adib.
"Adakah anda tahu bahawa hak fundamental diperuntukkan bagi kebebasan berhimpun, kebebasan berpersatuan dan lain-lain?,” soal peguam Eric Paulsen.
Saksi berkenaan kemudiannya menjawab, beliau tidak tahu mengenai perkara itu.
Beliau turut mengakui bahawa syarat yang dikenakan ke atas penganjur perhimpupnan – seperti ditetapkan dalam akta tersebut – tidak diberikan kepada pemohon ketika borang permohonan itu diisi.
"Adakah anda setuju bahawa orang biasa mungkin tidak tahu apa syarat tersebut ketika mengisi borang?,” soal seorang lagi peguam, Gobind Singh Deo.
"Ya, saya setuju,” kata Zieharina kepada mahkamah.
Perbicaraan tersebut akan diteruskan esoko di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

