Beberapa prosedur diteliti sebelum haram buku 'Syiah'
Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menjalankan beberapa prosedur sebelum keputusan sama ada perlu atau tidak mengharamkan buku pengarang terkenal Faisal Tehrani Perempuan Nan Bercinta yang dikaitkan dengan Syiah dibuat.
Menurut Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, sehingga hari ini, kementerian masih meneliti berhubung perkara itu selepas mendapat ulasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
"Pihak kementerian telah menerima ulasan berkenaan buku Perempuan Nan Bercinta daripada JAKIM dan ia perlu melalui beberapa prosedur sebelum apa-apa keputusan dibuat.
"Kementerian sedang dalam proses meneliti ulasan yang diterima daripada JAKIM sebelum ia diputuskan," menurut kenyataan bahagian itu kepada Malaysiakini hari ini.
Bahagian itu berkata demikian ketika menjawab soalan Malaysiakini melalui e-mel pada 29 November lalu yang mahu pengesahan berhubung pengharaman buku itu dan sama ada KDN dimaklumkan oleh Jakim berkenaan perakuan haram oleh jabatan itu.
Sebelum ini, pengharaman buku itu dinyatakan dalam majlis ceramah berhubung dakwaan kesesatan Syiah yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor di Seri Perdana, Putrajaya, lapor MyMetro.
Penolong Pengarah Seksyen Akidah Jakim Mohd Aizam Mas'od dilaporkan sebagai berkata, berlaku penyusupan idea ajaran itu melalui novel yang dilancarkan perdana menteri pada tahun lalu itu.
Perempuan Nan Bercinta mengisahkan pengalaman Dr Tengku Idora, seorang feminis yang berkenalan dengan Prof Dr Ali Taqi menerusi Bastian, kekasihnya.
Perkenalan itu membantu perubahan tanggapan Tengku Idora daripada seorang feminis melulu kepada feminis yang bersandarkan ketokohan anak perempuan Rasulullah Saidatina Fatimah az-Zahra.
Tahun lalu, novel Sebongkah Batu di Kuala Berang turut diperakukan haram oleh Jakim.
Faisal juga memberitahu, tiga lagi bukunya kini turut berhadapan tindakan sama, iaitu Tiga Kali Seminggu (kumpulan cerpen), Karbala (drama pentas) dan Ingin Jadi Nasrallah (kumpulan puisi).

