Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

We can never be sure that the opinion we are endeavouring to stifle is a false opinion; and if we were sure, stifling it would be an evil still. - John Stuart Mills, On Liberty

Budaya pembulian dan sekatan wacana bukanlah perkara baru dalam amalan politik kekuasaan dalam usaha mematikan semangat kebebasan berfikir.

Malahan budaya pengharaman buku dan wacana diskusi ini menjadi asas kepada kelompok kekuasaan untuk memastikan manusia tidak boleh terdedah kepada wacana yang berbeza kefahaman dan kepercayaan.

Wacana yang bersifat pembulian ini secara alaminya telah mengkhianati semangat kebebasan warganegara dalam meyakini apa yang mereka percaya.

Pengharaman buku Faisal Tehrani oleh pihak berkuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sebelum ini buku Irsyad Manji dan Kassim Ahmad seakan-akan menggambarkan bagaimana pihak berkuasa bertindak menghormati kebebasan intelektual dan kepercayaan yang berbeza.

Ini dilakukan dengan mematikan idea-idea melalui tindakan kekerasan yang sangat cukup tidak beretika. Ia merupakan ketidakadilan dalam mengurus hak kebebasan Individu warganegara.

Kemerdekaan memberi pandangan adalah hak yang tidak boleh diceroboh. Malah setiap warganegara bebas memberi pendapatnya melalui ucapan mahupun tulisan.

Individu atau manusia sebagai warganegara itu memiliki kebebasan dalam melakukan segala selagi sifatnya itu tidak menceroboh dan merugikan manusia lain.

John Stuart Mills melalui karyanya On Liberty dalam perbincangan tentang kebebasan berfikir dan berdiskusi menegaskan bahawa pemikiran yang cuba ditindas pihak berkausa mungkin pemikiran yang benar.

Dan mereka yang cuba menindas pemikiran tersebut semestinya menolak kebenaran tersebut; tetapi mereka sebenarnya bukan manusia yang maksum.

Sesungguhnya seseorang itu tiada kuasa untuk menentukan persoalan bagi seluruh manusia. Menolak untuk mendengar sesuatu pandangan semata-mata kerana beranggapan ia suatu kekeliruan sebenarnya mengira bahawa pegangan dan kefahaman yang dipegang itu keyakinan yang benar secara mutlak.

Sesungguhnya segala bentuk penindasan terhadap diskusi dan wacana merupakan tanggapan pencapaian makam kemaksuman.

Manifestasi kekerasan atau sifat pembulian ini atas dasar untuk memastikan kekuasaan sebuah wacana atau mempertahankan autoriti rejim politik itu dalam budaya masyarakat sama sekali tidak dapat membawa persoalan ini kepada sebuah proses pendamaian harmoni.

Sebaliknya ia boleh membawa kepada kerosakan yang yang tidak dapat dijangka kesan akhirnya. Ini seperti diungkapkan Hannah Arendt sebagai unpredictability.

Hannah Arendt yang terkenal sebagai ahli teori politik menulis dalam karya pentingnya On Violence sebagai tindak balas terhadap wacana politik abad ke-20 yang menjadikan tema kekerasan sebagai alat mempertahankan kekuasaan.

Tiada demokrasi dan kebebasan warganegara untuk berfikir. Malahan ia melumpuhkan budaya berfikir dan menyekat proses pemikiran kritikal rakyat supaya kekuasaan penguasa tidak perlu dicabar.

Kaedah pembunuhan idea ini diungkapkan Arendt dalam buku lainnya The Origin Of Totalitarianism tentang bagaimana ideologi itu dapat dikawal dengan membunuh segala karektor, wacana dan pandangan yang dapat menimbulkan kerisauan pada proses wacana kuasa pihak berkuasa.

Mematikan diskusi

Tuhan memberikan kemuliaan kepada manusia dengan akal. Manusia menggerakkan akalnya dengan kekuatan atas perbuatannya supaya dapat melaksanakan fungsi tertinggi iaitu menjadi agen bertindak pada lapangan politik kehidupan.

Dan tiadalah akal itu dipandu kepada penindasan sesama manusia.

Menghidupkan wacana dan peranan akal untuk mengeluarkan manusia daripada hamba kepada pembodohan ataupun penganiayaan sama ada bersumberkan manusia ataupun materi.

Tetapi sebaliknya yang berlaku ketika ini, budaya kekerasan ataupun pembulian ini menjadi tema kepada politik penguasaan untuk mereka mengekalkan kuasanya.

Mereka akan mengharamkan segala perkara yang tidak mereka persetujui dan menindas kepada golongan yang sedikit. Maka berlakulah apa yang dinamakan kezaliman majoriti.

Pencerobohan dan sifat eksklusif penganut agama dan bangsa ini tidak lagi jujur untuk bersama merasakan kewujudan kebersamaan dalam perbezaan pandangan, kepercayaan dan budaya pada ruang awam ini, untuk berkongsi minat dan perbezaan yang diuruskan bersama.

Seharusnya ruang publik ini menjadi tempat kepada manusia membentuk wacana politik dan kehidupan bersama.

Tetapi sebaliknya ia bertindak mematikan budaya dan menyerang ruang dan hak kepercayaan peribadi yang berbeza.

Inilah penindasan yang membentuk politik kekerasan yang diamalkan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha mengharamkan segala bentuk aliran dan budaya yang kononnya membahayakan pemikiran dalam beragama.

Beban pengalaman sebegini seperti dilalui oleh Farid Esack, pemikir Muslim di Afrika Selatan yang dikenali pemikirannya melalui bukunya Quran Liberation and Pluralism.

Ia menggambarkan kekecewaannya kepada dogma keagamaan yang bersifat menindas dan dijadikan legitimasi.

Majmuk agama bukan lagi menjadi tempat melawan projek antikemanusiaan dan mengangkat golongan tertindas.

Ia sebaliknya menjadi pusat menjatuhkan hukuman dan menceroboh ruang peribadi manusia.

Bagaimana boleh kebebasan itu dilenyapkan dalam ruang komunikasi hidup bersama kerana manusia itu makhluk yang mempunyai kesedaran dalam tindakannya yang menghubungkan tindakan dan penciptaan atas dasar pilihan yang diambil.

Maka itulah kebebasan yang secara luar sedar manusia itu menjadi makhluk yang bebas bertindak dan berfikir yang membentuk keputusan politik dalam aktivitinya bersama dalam ruang publik.

Maka dengan itu, kelompok yang dianggap berpegang kepada aliran dan pemikiran berlainan mestilah diberikan hak kebebasan mereka sebagai warganegara untuk menjalani kehidupan mereka.

Mereka seharusnya dibenarkan untuk menganuti pemikiran yang mereka yakini dan penyebaran aliran itu menjadi sebuah esensi dalam tujuan pengamalan mereka.

Apakah penyebaran dakyah aliran pemikiran itu dapat dianggap sebagai pencerobohan golongan minoriti kepada majoriti, mestilah dilihat esensinya sebagai seorang yang yakin kepada kepercayaan yang dianutinya.

Semangat Pencerahan

Pengamalan budaya dan kebebasan berfikir di Malaysia nampaknya tidak dapat menggerakkan masyarakat yang lebih progresif dalam menjalani kehidupan pelbagai budaya yang rencam.

Ketakutan menebal dalam pemikiran yang kuat ditanam pada pemikiran orang Melayu, khususnya oleh budaya politik pemerintah, menjadikan politik kekerasan sebagai penyelesaian untuk menutup ancaman pemikiran dan budaya yang dilihat kononnya membawa kerosakan pemikiran dalam beragama.

Budaya kritis dan wacana yang melawan tradisi pemikiran yang sedia ada dan kepercayaan kuno digambarkan seakan wajah suram yang penuh dengan agenda yang merosakkan.

Bersandar kepada semangat pencerahan, maka aktiviti berfikir manusia mestilah dibebaskan.

Ketidakadilan dalam masyarakat dan pengamalan budaya menghendaki sikap kritis dan penggunaan akal sebagai alat yang menjadikan pengamalan budaya supaya sebuah pengamalan budaya dan politik dihukum seadilnya dan bebas daripada kekerasan mahupun kekuasaan autoritorian.

Akan tetapi, pembentukan pengamalan budaya dan politik di Malaysia dilihat lebih bersifat menyekat dan menghalang segala aktiviti yang dianggap berlainan dengan kefahaman dan kepercayaan.

Wacana dan buku yang dilabel membawa "pencemaran akidah" tidak langsung diperdebatkan dengan cara ilmiah dan kritikal.

Dan lebih parah apabila budaya pendidikan termasuk di universiti masih lagi mengamalkan aktiviti yang tidak membawa kepada pemikiran kritis dan kemajuan dalam kaedah berfikir.

Demikian juga semangat wacana pencerahan anak muda di negara ini masih bersifat dogmatik dengan mengangkat slogan dan memuja tokoh tanpa "kerja rumah" dan bacaan mendalam lebih kritis demi pembangunan masyarakat dan negara.

Wacana pluraliti dan kebebasan adalah wacana yang sewajarnya diangkat dan dinobatkan seraya menolak segala wacana kekerasan dalam penindasan.

Demikian juga untuk menghidupkan semangat dan tindakan pencerahan sebagaimana yang diungkapkan Immanuel Kant dalam eseinya yang penting Beantwortung der Frage: Was ist Aufklärung? (Menjawab persoalan: Apa itu Pencerahan?)

Bahawa penggunaan daya akal itu hendaknya dalam semua perkara dan dengan kata kuncinya kebebasan.

Manakala segala aktiviti yang menyekat norma kebebasan hendaklah dilawan kerana penggunaan daya akal seseorang mestilah sentiasa bebas.

Kerana yang demikian itu sahaja yang dikatakan Kant dapat membawa pencerahan kepada sekalian insan.

Ketidakadilan pengurusan politik, ekonomi dan institusi agama wajiblah diperbaiki dengan semangat perjuangan kebebasan dan keadilan yang bersandarkan semangat pencerahan.

Sapare aude!


MOHD SYAZREEN ABDULLAH mahasiswa sebuah universiti di Timur Tengah. Beliau kru Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM) dan felo penyelidik Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front (IRF).

ADS