PDRM perjelas punca kematian pegawai awamnya
Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini membuat penjelasan susulan kenyataan Ketua Polis Negara semalam mengenai kematian seorang pegawai awam PDRM yang meninggal dunia pada 5 Disember 2013 lalu telah menimbulkan beberapa kekeliruan.
"Justeru, PDRM ingin menjelaskan bahawa pegawai awam yang terlibat sebenarnya menghadiri Perhimpunan Pegawai Awam 2013 yang diadakan di sebuah hotel
tempatan di Melaka pada 2 hingga 4 Disember 2013," kata Supt Lai Lee Ching dari Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) Ibupejabat PDRM Bukit Aman.
Menurut Lai, mangsa mengadu tidak sihat dan keadaannya bertambah teruk hingga dimasukkan ke hospital.
"Bagaimanapun, beliau telah disahkan meninggal dunia pada 5 Disember 2013 pada jam 1.42 petang. Punca kematian adalah disebabkan Influenza A with Myocarditis," kata Lai dalam satu kenyataan petang ini.
Susulan daripada itu, katanya, kesemua 300 peserta perhimpunan yang telah kembali ke formasi masing-masing diarahkan untuk menjalani ujian saringan di hospital berdekatan.
"Sehingga kini, terdapat sembilan pegawai awam masih ditahan di wad kerana mengalami simptom batuk dan demam manakala dua (2) orang lagi kini dikuarantin di rumah.
"Dalam pada itu, khabar angin yang mengatakan pegawai awam PDRM dari Negeri Sembilan dijangkiti oleh wabak ini adalah tidak benar sama sekali," tambahnya.
Sebelum ini, Bernama memetik Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai berkatapegawai awam wanita PDRM dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, disahkan meninggal dunia semalam akibat dijangkiti selesema burung atau Influenza A.
Beliau dilaporka berkata,, mangsa didapati dijangkiti virus itu selepas menghadiri majlis "Perjumpaan Pegawai Awam PDRM bersama KPN" di Melaka, Khamis lepas.

