Kerajaan Kedah menyasar untuk menyerahkan maklumat lengkap dan cadangan menjadikan Sungai Batu dan Lembah Bujang di Merbok sebagai tapak warisan dunia kepada Unesco menjelang akhir tahun depan.

    

Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata oleh itu, kerajaan negeri akan memastikan tidak berlaku pemusnahan di tapak arkeologi berkenaan, terutama sekitar Sungai Batu.

    

Beliau berkata ketika ini, Universiti Sains Malaysia (USM) sedang menjalankan kerja-kerja dan kajian akademik bagi mengenal pasti tamadun itu dalam usaha membantu kerajaan negeri menjadikan kawasan berkenaan sebagai tapak warisan dunia.

    

"Kita kena kenal pasti dengan kajian akademik yang kita boleh kemukakan. Ia termasuk pentarikhan karbon untuk berikan bacaan yang tepat bekas-bekas tapak itu daripada abad tertentu.

    

"Ini perlu diselesaikan sebelum kita berikan dossier kepada Unesco, dan kita sasarkan akhir tahun depan untuk beri semua dossier kepada Unesco," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco hari ini.

    

Mukhriz berkata USM juga akan membantu kerajaan negeri mencari kaedah terbaik bagi mengeksploitasi tapak warisan itu secara positif dan untuk tujuan pembangunan.

    

"Hasrat saya untuk kemukakan satu cadangan kepada pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan apa kehendak negeri Kedah dan pastikan supaya warisan dunia ini dipelihara dan dibangunkan.

    

"Kita semua setuju ini satu inisiatif yang sangat penting bukan hanya untuk Kedah dan Malaysia tetapi juga untuk dunia," katanya.

    

Mukhriz berkata beliau kagum dan bangga dengan apa yang ditemui pakar arkeologi setakat ini yang membuktikan bahawa tinggalan kesan sejarah di kawasan itu lebih tua daripada Angkor Wat atau Borobudur dan dipercayai bermula pada abad kelima sebelum Masihi lagi.

    

Beliau berkata perkara itu membuktikan kita mempunyai satu tamadun Melayu sebelum ketibaan sebarang agama.

    

- Bernama