ADUN Umno dirujuk kepada JK hak DUN P Pinang
DUN PULAU PINANG ADUN Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Ini berhubung keengganan beliau memohon maaf atas dakwaannya mengenai "doktor rasis" yang telah mencetuskan kecaman daripada kerajaan negeri.
Roslan dikecam ekoran dakwaan beliau semasa sidang DUN pada 3 Julai bahawa beberapa doktor di negeri ini "enggan merawat pesakit Melayu".
ADUN Jawi, Soon Lip Chee (kanan) membentangkan usul untuk mengecam Roslan kerana enggan memohon maaf berhubung kenyataan itu, yang menurut Soon "tidak berasas dan rasis".
Speaker Datuk Law Choo Kiang membuat keputusan itu selepas usul yang dibawa oleh Soon diterima semua wakil rakyat pakatan pembangkang dalam persidangan DUN hari ini.
Soon mempertahankan cadangannya untuk mengecam Roslan, dengan merujuk kepada pengakuan Kementerian Kesihatan bahawa siasatan terhadap perkara itu tidak mengesan sebarang unsur rasis.
Menteri Kesihatan Dr S Subramaniam, dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik, mengakui terdapat unsur komunikasi yang lemah dan tidak cekap kerana doktor berkenaan "tidak berkomunikasi dengan baik dengan pesakit".
Roslan, pada bulan Julai, menuduh tiga doktor Cina Malaysia - dua dari Seberang Jaya dan seorang lagi dari Kepala Batas - bersikap rasis - dengan berkata bahawa tindakan mereka itu telah menjejaskan enam pesakit.
Beliau kemudian mengaitkan dakwaan berhubung sikap doktor berkenaan ekoran penurunan sokongan masyarakat Cina kepada BN dalam pilihan raya umum ke-13.
Sementara itu, Roslan ketika ditemui pemberita kemudian berkata beliau akan cuba membawa pesakit yang mengadu kepadanya berhubung hal tersebut apabila berdepan jawatankuasa berkenaan kelak.
Beliau juga menafikan mengeluarkan perkataan rasis sebaliknya mendakwa perkara itu diapi-apikan oleh wakil rakyat pakatan pembangkang. [Baca berita penuh]
Sementara itu, ADUN BN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad menggesa DUN menjelaskan maksud 'perkauman'.
Katanya, tanpa penjelasan tersebut, adalah sukar untuk membangkitkan isu-isu dalam sidang Dewan.
Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, beliau berkata, ia seolah-olah tidak boleh langsung menyebut kaum, sedangkan kadang-kadang, ia perlu supaya lebih khusus.
Oleh itu, pihaknya berharap ada garispanduan mengenai apa yang dianggap bersifat perkauman dan apa yang tidak. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan kerajaan negeri Pulau Pinang digesa membantu meningkatkan pembabitan golongan Bumiputera dalam sektor pelancongan inap desa di negeri itu dalam usaha memperbanyakkan produk pelancongan negeri serta memajukan industri pelancongan.
Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid (BN-Teluk Air Tawar) berkata kerajaan negeri jangan hanya bercakap kosong sebaliknya perlu lebih proaktif untuk mencari kaedah menggiatkan usaha mempromosi produk pelancongan inap desa yang diusahakan terutama di kawasan luar bandar di negeri ini.
Beliau berkata sehingga kini, pengusaha pelancongan inap desa Bumiputera di Pulau Pinang hanya sekitar dua peratus saja dan kerajaan negeri perlu berbuat sesuatu bagi memperbanyakkan pengusaha inap desa daripada kalangan Bumiputera.
"Janganlah kerajaan negeri hanya cakap-cakap saja dan masukkan dalam risalah yang kononnya sedang berusaha membantu golongan Bumiputera Pulau Pinang dalam sektor berkenaan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2014.
Jahara berkata daripada maklumat yang diperoleh ramai pelancong asing berminat untuk tinggal di inap desa kerana mereka ingin menyelami keunikan budaya masyarakat tempatan.
Sementara itu Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) mengkritik kerajaan negeri Pulau Pinang kerana tidak menyediakan jawapan lengkap kepada soalan yang dikemukakan pada persidangan DUN yang berlangsung hari ini.
Beliau berkata keadaan itu tidak sepatutnya berlaku dalam perbincangan Bajet 2014 memandangkan wakil rakyat memerlukan maklumat lengkap supaya boleh berbahas dengan baik.
"Saya juga mendapati maklumat perbelanjaan negeri dalam bajet sukar difahami terutama perkara membabitkan pembahagian peruntukan. Ada yang tidak logik," katanya.

