Surat cinta untuk Kuala Lumpur
Filem keluaran Malaysia lazimnya dianggap bermutu rendah dan tidak dapat menarik khalayak.
Malah awal bulan ini Dewan Rakyat diberitahu betapa tema dan jalan penceritaan yang remeh dan lemau disuapkan kepada penonton.
Datuk Seri Azalina Othman (kanan) pada 3 Disember lalu meluahkan pemerhatiannya mengenai tema filem yang diluluskan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) hanya berkisar soal jenaka, cinta, hasad dengki, pembunuhan atau samseng.
"Eh, takkan itu budaya kita. Takkan Finas, (fikir) itu budaya kita. Cerita bunuh, samseng.
"Tak ada cerita kita, kalau kita tengok, filem Eropah (ada) yang menekankan aspek digital, menekan perjuangan," kata beliau dipersetujui oleh sebahagian besar ahli dewan, dari kedua-dua pihak.
Hal ini sudah lama disedari segelintir khalayak peminat filem sehingga ada yang 'memangkah' dan tidak mahu menonton filem negara di pawagam.
Bagaimanapun sekali sekala, hadir filem yang 'lari' dari lawak slapstik, aksi 'poyo' dan cerita 'jiwang meleleh' dan membuat harapan filem Malaysia kembali cerah.
Filem Kolumpo tidak dibikin oleh syarikat besar yang gah dengan nama-nama bintang besar tanah air, malah ketiga-tiga pengarah filem bercorak 'antologi' baru pertama kali melahirkan karya mereka ke layar perak.
Bront Palare, Sheikh Munasar, dan Rozi Izman menggabungkan karya mereka bawah tema dan hanya satu kesimpulan yang dibuat: Filem ini adalah surat cinta kepada Kuala Lumpur.
3 segmen, 3 genre
Setiap satu dari ketiga segmen yang disajikan berlainan genre, mood dan perencah untuk disajikan kepada penonton.
Tiga kisah yang ringkas, mudah difahami serta ringan ini bagaimanapun memberi mesej berat tentang erti hidup dan perhubungan kemanusiaan di kota raya Kuala Lumpur.
Kisah pertama arahan Bront Palarae menceritakan seorang pendatang India bernama Rahul yang ditipu sindiket sehingga dipaksa membasuh pinggan di restoran mamak.
Kisah kedua nukilan Rozi Izman pula menarik perjalanan roadtrip sekitar Ampang dan Setapak seorang andartu Gienna dan orang tua nyanyuk, Nek Wok yang amat berkesan di hati.
Kisah ketiga pula, romantik komedi oleh Sheikh Munasar tentang seorang lelaki yang tak pernah ada awek, Hafid bertemu dengan gadis misteri, Siti Nur Hayy dalam membelah kehidupan malam kota yang tak pernah tidur.
Tak keterlaluan untuk mengatakan pertalian antara manusia yang tidak dikenali (familiar strangers) yang ditonjolkan membuat penonton, khususnya yang mengais hidup di Kuala Lumpur dapat melihat dirinya di sosok pelakon-pelakon ini.
Kamu mungkin pernah bertemu Nek Wok atau Rahul, berperasaan seperti Hafid dan Giena atau mencari diri dalam Siti Nur Hayy dan itu adalah lapisan paling atas filem ini.
Dengan garapan sinematografi yang tidak 'gempak' tapi amat kemas dan berkesan, semua dapat melihat nilai 'cinta' yang cuba dibentangkan oleh filem keluaran Otto film Sdn Bhd ini.
Panggung kosong
Nilai cinta yang dibentangkan bukanlah semudah cinta antara awek dan 'balak', sebaliknya antara manusia dan hidup itu sendiri, dengan berlatar belakang kota yang setia bersama penghuninya.
Walau bajet tidak seberapa, filem ini mampu hidup dengan lakonan baik, serta iringan muzik yang seolah menjadi 'bunyi latar' hidup sehari-hari kita.
Bagaimanapun sedih bila dilihat panggung amat kosong jika dibandingkan dengan filem kontemporari lain.
Ini mungkin kerana ramai tidak biasa dengan filem yang langsung tak menayangkan aksi samseng, cinta antara dua darjat dan babak minum jus oren.
Tetapi umpama kugiran Velvet Underground, diharap cetusan beberapa filem 'luar' kebiasaan dan tidak stereotaip seperti Kolumpo ini dapat mencetuskan evolusi seterusnya filem negara.
Kolumpo dijayakan oleh Sharifah Amani, Azad Jasmin, Ruminah Sidek, Shoffi Jikan, Nell Ng, Mano Maniam, Emily Poon, Sabri Yunos, Amerul Affendi, Azhan Rani, Along Eyzendy dan pelakon baru Amirul Ariff.
Terdapat juga cameo dari selebriti popular seperti Adibah Noor, Farid Kamil dan Sara Ali.
Ia mula ditayangkan 6 Disember lalu di pawagam utama seluruh negara.

