Kemarau emas negara selama 30 tahun dalam sukan menembak di Sukan SEA berakhir hari ini menerusi Eddy Chew yang meraih pingat emas bagi acara 50m pistol lelaki individu dalam edisi kali ini.
Beliau membidik 186.4 mata, mengetepikan cabaran atlet tuan rumah Naung Ye Tun dengan perbezaan 0.7 mata di Lapang Sasar Menembak North Dagon di Yangon.
Pingat gangsa diraih seorang lagi atlet negara Jonathan Wong dengan bidikan 166.0 mata.
Kali terakhir negara meraih pingat emas acara itu ialah pada Sukan SEA 1983 di Singapura menerusi bekas penembak Olimpik negara Datuk Sabiamad Abdul Ahad.
Ketika ditemui pemberita kemudian, Eddy berkata beliau tidak menyangka dapat ke final, apatah lagi menyumbang emas untuk negara menerusi penampilan sulungnya di Sukan SEA itu.
"Kemenangan ini memberi semangat untuk saya lebih cemerlang pada kejohanan yang lebih tinggi," katanya.
Sabiamad yang juga pengurus pasukan sukan menembak di Sukan SEA, menyifatkan kemenangan Eddy sebagai kejutan buat negara.
"Kita tidak meletak sasaran tinggi pada acara ini, Eddy dan penembak lain hari memang memberikan aksi terbaik, saya bangga dengan mereka," katanya.
Dalam acara berpasukan pula, Eddy, Jonathan dan Abdul Malek membidik pingat gangsa bagi acara 50m pistol lelaki dengan 1,618 mata.
Pingat emas diraih oleh trio Vietnam menerusi atlet mereka Hoang Xuan Vinh/Nguyen Hoang Phuong/Tran Quoc Cuong dengan 1,649 mata manakala pingat perak diraih oleh gandingan atlet Singapura Gai Bin/Poh Lip Meng/Lim Swee Hon dengan 1,637 mata.
- Bernama
