Kampung Sungai Melayu di Pulau Sebatik dekat Tawau memerlukan sebuah tembok bagi menghalang air laut daripada melimpahi sawah padi di kampung berkenaan.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Sairin Karno berkata pihaknya akan memohon bantuan daripada kerajaan pusat bagi membina tembok itu.

"Kampung Sungai Melayu merupakan satu-satunya kawasan di pantai timur Sabah yang menanam padi dan kita mahu memelihara usaha ini.

"Seluas kira-kira 80 hektar tanah di kawasan ini diusahakan untuk menanam padi sejak 1970-an secara tradisi oleh penduduk di sini," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada lawatannya ke kampung itu hari ini.

Selain padi, Sairin kagum dengan aktiviti pertanian lain seperti kelapa sawit dan perikanan yang diusahakan oleh penduduk kampung itu.

Bagaimanapun, beliau difahamkan penduduk di kampung berkenaan menghadapi kesukaran membawa hasil pertanian mereka untuk dijual di pasar Tawau kerana kedudukan kampung itu di pulau.

"Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho telah membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk membina jeti sepanjang 200 meter bagi memudahkan penduduk kampung berulang-alik ke pekan Tawau," katanya.

Sairin berkata beliau akan mengemukakan permohonan tersebut kepada kementerian berkenaan agar tindakan dapat diambil.

Beliau turut meyakinkan penduduk kampung itu bahawa kerajaan sentiasa berusaha membantu rakyat dengan mendengar keluhan dan menyediakan kemudahan infrastruktur yang diperlukan bagi membangunkan rakyat.

- Bernama