Tindakan pihak Vatican yang pantas menerima peletakan jawatan seorang paderi kanan dari Malaysia menimbulkan spekulasi bahawa isu ketegangan antara gereja dan kerajaan Malaysia berkait rapat dengan kes undang-undang mengenai hak penggunaan nama Allah.

Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam meletakkan jawatan sebagai ketua biskop Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur pada hari ulang tahun beliau ke-75, 6 Disember lalu, selaras dengan Canon Law.

Namun tindakan Vatican yang menerima peletakan jawatan itu dengan cepat telah menarik perhatian beberapa pihak.

Sumber yang rapat dengan Gereja Katolik memberitahu Malaysiakini bahawa tindakan tangkas Vatican itu mungkin menzahirkan kekecewaan kepada Pakiam dalam kes penggunaan kalimah Allah yang kini berlarutan di Mahkamah Persekutuan.

"Pakiam sering dilihat sebagai seorang yang 'pro-establishment' dan tidak gemar menongkah arus. Beliau lebih gemar memilih untuk tidak terlibat dalam kontroversi.

"Pendirian beliau yang dilihat ringan dalam isu Allah ini dikritik golongan paderi dan Katolik umumnya, yang mahukan Ketua Biskop lebih tegas dan lantang," kata sumber yang enggan dikenali itu.

Sumber itu turut mengaitkan kritikan yang timbul ekoran keputusan Pakiam menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran 'Tan Sri'.

"Ramai berasa ganjaran dunia dan pangkat perlu ditolak oleh mereka yang sepatutnya memberi dedikasi penuh kepada kerja Tuhan.

"Malah, mantan ketua biskop sebelum Pakiam, Anthony Soter Fernandez pernah ditawar untuk menerima gelaran semasa berkhidmat tetapi menolaknya," tambah sumber tersebut.

Pakiam, yang berasal dari Perak diangkat menyertai perkhidmatan paderi pada 1964. Beliau dilantik sebagai ketua biskop Kuala Lumpur pada 2003.

Beliau juga merupakan bekas presiden persidangan biskop Katolik Malaysia, Singapura dan Brunei serta penerbit akhbar mingguan Katolik, The Herald.

Sumber tersebut juga mendedahkan bahawa wakil Rom ke Malaysia, Joseph Marino telah menyerahkan tiga nama kepada Vatican untuk dipilih menggantikan tempat Pakiam.

"Ini merupakan proses yang amat rahsia dan tiada siapa yang tahu nama dalam senarai tersebut. Pilihan akan dibuat berdasarkan rekemendasi Marino," kata beliau.

Sumber menambah, tokoh Kristian yang disebut-sebut sebagai bakal menggantikan Pakiam ialah Biskop Sebastian Francis dan Msgr Benard Paul dari kawasan uskup Pulau Pinang serta Dr Clarence Devadass dan Fr Michael Chua dari kawasan uskup Kuala Lumpur.